Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Jangan Politikan Isu Perumahan

KUALA SELANGOR 29 APR: Kerajaan Pusat diminta tidak mempolitikkan isu perumahan di negeri Selangor kerana perumahan adalah hak milik rakyat.

Mengambil contoh projek terbengkalai Taman Alam Perdana, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sepatutnya tidak melambatkan pemberian sijil layak menduduki (CF).

SPNB, sebuah agensi Kerajaan Pusat, telah mengambil alih projek perumahan di Ijok itu pada 2009. Tetapi setelah dua tahun, SPNB gagal menyiapkan projek itu.

Tetapi setelah Kerajaan Selangor mengambilalih projek tersebut pada Januari 2012 dan menyiapkannya, SPNB pula berkata CF tidak boleh diberi untuk rumah-rumah itu.

“Hari ini kita beri kunci, geran hak milik dan sijil layak menduduki (CF). Tindakan SPNB yang melengahkan dan memberikan alasan bahawa CF tidak boleh diberikan adalah satu tindakan yang salah.

“Saya lihat, Yang Dipetua Perbandaran Kuala Selangor sudah menyemak dan mendapati CF sebenarnya tiada masalah,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Hak Milik rumah teres satu tingkat dan dua tingkat kepada pemilik rumah Taman Alam Perdana.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad, Ketua Pentadbir MBI, Rohany Talib, Ketua Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Seramai 1,116 pemilik rumah terumbang-ambing setelah projek tersebut gagal disiapkan selama lebih 10 tahun, semasa Selangor ditadbir Umno-BN.

Masalah itu juga gagal diselesaikan oleh SPNB setelah agensi itu mengambil-alih pada 2009.

Akhirnya, Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat terpaksa mengambil-alih projek berkeluasan 1,037 ekar itu dan membelanjakan RM200 juta bagi menyiapkannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.