Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Flat Taman Medan ‘Diperalat’ Fitnah Kerajaan Negeri

 

PETALING JAYA, 19 OKT: Penduduk Flat Taman Medan Cahaya kesal sikap dengan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa didalangi Umno menggunakan pangsapuri mereka untuk memfitnah Kerajaan Negeri kononnya gagal memberikan air percuma kepada penduduk taman terbabit.

Sedangkan menurut penduduk yang ditemui, mereka mula menikmati 20 meter padu air percuma sejak tahun 2011 lagi seperti yang dibuktikan dalam bil air yang ditunjukkan kepada Selangor Kini.

Menurut A Ramlee Yahaya,48, yang mendiami Blok H memberitahu majoriti peserta demontrasi tersebut merupakan ahli-ahli Umno dan orang-orang luar yang tidak beliau kenal.

“Saya tahu sebab banyak muka yang saya tak pernah tengok pun dan ada juga yang saya dapat cam orang luar seperti bekas calon PRU-12 dari Umno, Munaliza Hamzah(bekas calon Umno Taman Medan) bukan penduduk kami.

“Selain itu orang-orang Umno seperti Ruslan Baba memang main peranan penting dalam demontrasi itu, tetapi orang sini sendiri memang tak ramai yang sertai,” ujar Ramlee.

Menurut Ramlee lagi, beberapa jawatan penting dalam Persatuan Penduduk Blok H juga dimonopoli beberapa pemimpin Umno peringkat akar umbi sekaligus menyebabkan kepentingan politik dibawa ke dalam persatuan itu.

Ramlee yang berada di lokasi ketika demontrasi itu diadakan, menganggarkan seramai kira-kira 150 orang yang menyertai demontrasi tersebut, bukannya sehingga 3,000 yang disebut oleh media perdana.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok B, Mohamad Fuad Jam Jam memberitahu sebelum demontrasi ‘menuntut air percuma’ itu diadakan, persatuannya dimaklumkan tujuan utama demontrasi diadakan adalah untuk memprotes filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.

“Bila demo berlangsung, filem hina Nabi tak disentuh langsung, tetapi tuntutan air percuma pula yang dilaungkan, sedangkan kami dah terima air percuma,” kata Fuad yang kesal tindakan Umno menipu penduduk dengan menggunakan isu filem hina Nabi.

Terdahulu, media arus perdana menyiarkan laporan penduduk Taman Flat Medan Cahaya mengadakan demontrasi menuntut bekalan air percuma dari Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun menurut Adun Taman Medan, Haniza Talha, penduduk di situ mula menikmati air percuma apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengemukakan permohonan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membolehkan pemberian tersebut disalurkan kepada unit-unit kediaman di situ.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Haniza : Demonstrasi Air Taman Medan Dusta Semata-mata

SHAH ALAM, 11 OKT : Kesemua penghuni flat Taman Medan Cahaya PJ2, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya telah menikmati skim air percuma Kerajaan Selangor sejak akhir tahun lepas.

Oleh itu dakwaan sebuah NGO di dalam sebuah akhbar pada 8 Okt bahawa 3,000 penduduk di flet tersebut tidak menerima skim air percuma adalah dusta dan berbaur politik, kata Adun Taman Medan Haniza Talha.

Menurutnya, rebat air juga telah diperoleh apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Orang-orang yang buat tuntutan itu semuanya penduduk yang telah menerima air percuma.

Penduduk yang duduk di flat yang mengatakan mewakili 3,000 orang sebenarnya hanya ada lebih 1,000 orang dan semua mereka dari blok dari A hingga H sudah menerima potongan rebat air daripada SPNB.

“Tuntutan mereka itu hanya berbaur politik kerana ia jelas mereka sudah mendapat perkhidmatan itu tetapi mendakwa kononnya tidak dapat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor mengulas laporan media mengenai demonstrasi sebahagian penduduk di flat itu Ahad lalu yang mendakwa tidak mendapat air percuma 20 metre padu.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat dalam demonstrasi itu telah digunakan demi kepentingan politik Umno-BN.

“Saya mempunyai dokumen daripada Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang mengatakan mereka sudah mendapat rebat itu dari Julai lepas atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Jangan Politikan Isu Perumahan

KUALA SELANGOR 29 APR: Kerajaan Pusat diminta tidak mempolitikkan isu perumahan di negeri Selangor kerana perumahan adalah hak milik rakyat.

Mengambil contoh projek terbengkalai Taman Alam Perdana, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sepatutnya tidak melambatkan pemberian sijil layak menduduki (CF).

SPNB, sebuah agensi Kerajaan Pusat, telah mengambil alih projek perumahan di Ijok itu pada 2009. Tetapi setelah dua tahun, SPNB gagal menyiapkan projek itu.

Tetapi setelah Kerajaan Selangor mengambilalih projek tersebut pada Januari 2012 dan menyiapkannya, SPNB pula berkata CF tidak boleh diberi untuk rumah-rumah itu.

“Hari ini kita beri kunci, geran hak milik dan sijil layak menduduki (CF). Tindakan SPNB yang melengahkan dan memberikan alasan bahawa CF tidak boleh diberikan adalah satu tindakan yang salah.

“Saya lihat, Yang Dipetua Perbandaran Kuala Selangor sudah menyemak dan mendapati CF sebenarnya tiada masalah,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Hak Milik rumah teres satu tingkat dan dua tingkat kepada pemilik rumah Taman Alam Perdana.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad, Ketua Pentadbir MBI, Rohany Talib, Ketua Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Seramai 1,116 pemilik rumah terumbang-ambing setelah projek tersebut gagal disiapkan selama lebih 10 tahun, semasa Selangor ditadbir Umno-BN.

Masalah itu juga gagal diselesaikan oleh SPNB setelah agensi itu mengambil-alih pada 2009.

Akhirnya, Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat terpaksa mengambil-alih projek berkeluasan 1,037 ekar itu dan membelanjakan RM200 juta bagi menyiapkannya.