Categories
NASIONAL

Noh Omar Jangan Salahkan Kerajaan Selangor Kerana Projek Nanas Gagal

SHAH ALAM 24 APRIL : Sekumpulan penanam nanas berkelompok di Bestari Jaya menyelar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar kerana menyalahkan Kerajaan Selangor atas kegagalan projek mereka.

Sebaliknya kata penanam terbabit, projek tersebut gagal kerana salah tadbir Grand Entity Sdn Bhd (GEHSB), syarikat yang mengurus projek yang berpangkalan di Taman Agroteknologi (TKPM).

Menurut jurucakap penanam terbabit, Mohd Fadzli Sharif, Noh tidak sepatutnya memburukkan kerajaan negeri sedangkan beliau tahu masalah itu berpunca daripada pihak pengurusan yang diterajui Hamzah Pandi.

“Beliau (Noh) sebenarnya tahu punca masalah itu tetapi mendiamkan diri kerana Hamzah itu kawan baik beliau dan juga merupakan Ketua Umno Cawangan Seri Gemilang,” katanya ketika dihubungi.

“Noh ini hanya bercakap di media sahaja. Cakap kerajaan negeri rampas tanah, tindas usahawan seperti Hamzah. Noh ini jenis orang yang ‘suka tepis-tepis’, tidak mahu terus dengan peserta sebab Noh tahu ini kesilapan Hamzah.?

Mohd Fadzli berkata demikian bagi mengulas kenyataan Noh di dalam laman blognya www.nohomar.net pada April 17.

MP Tanjong Karang itu berkata kumpulan penanam nanas itu akan dibantu selepas tanah bagi projek tersebut, yang beliau dakwa diambil oleh Kerajaan Selangor, dipulangkan.

Mohd Fadzli berkata, Noh hanya pandai memburuk-burukan kerajaan negeri sedangkan beliau tidak pernah berjumpa peserta untuk berdialog mengenai masalah itu.

Laporan Selangorkini pada 6 April lalu mengatakan projek tersebut gagal mendatangkan pulangan dan peserta terpaksa menanggung hutang bank.

Peserta mendakwa GEHSB lepas tangan di dalam mengendalian projek itu dan tidak membayar balik pinjaman RM200,000 dari Agro Bank seperti yang di dalam perjanjian antara syarikat dan penanam nanas.

Akibatnya, Agro Bank sudah menuntut RM17,000 sebagai bayaran pijaman tersebut daripada penanam nenas sendiri.

Peserta juga mendakwa GEHSB memungkiri janji untuk memberi pulangan 40 peratus daripada projek tersebut kepada mereka.

Mohd Fadzli berkata Noh tidak memberi sebarang maklum balas untuk berjumpa dengan peserta sedangkan Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Safie Asnawi mendakwa Noh sudi untuk berdialog  bagi mencari jalan penyelesaian.

Mohd Fadzli berkata salah seorang peserta projek diberitahu oleh Agro Bank bahawa Noh mengeluarkan arahan untuk tidak menyenarai hitamkan peserta di Bank Negara.

Menurut peserta itu, bank juga tidak akan menuntut RM17,000 daripada setiap peserta.                                        

Walaubagaimanapun, Mohd Fadzli berkata Agro Bank tidak mahu mengeluarkan perjanjian hitam putih berkenaan dengan arahan Noh.

“Jika tiada hitam putih, kita bimbang sekiranya Noh tidak lagi menjadi Menteri selepas pilihanraya nanti. Macam mana pun masalah itu akan berbalik kepada kami, sudah tentu pihak bank akan menuntut kembali wang mereka,” katanya.

Bagi tindakan selanjutnya, peserta akan menyerahkan dua memorandum kepada Noh dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat ini.

“Memo itu akan diserahkan kepada Noh di Putrajaya kerana beliau tidak ada inisiatif untuk berjumpa kami.

“Saya tidak mempolitikkan isu ini tetapi Noh sendiri yang mempolitikkannya dan terlalu menyebelahi Hamzah dan kita tidak takut kerana kami ada bukti yang lengkap,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.