Categories
NASIONAL

Pendidikan Percuma: Bukan Sekadar PTPTN Tapi ‘University Autonomous’

Siri Wawancara Bersama Dr Maszlee Malik (siri 1).

SHAH ALAM, 19 APR: Menuntut memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) bukanlah suatu isu mengenai pendidikan percuma sahaja malah ia turut melibatkan isu kuasa autonomi pentadbiran universiti.

Demikian menurut Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

Menurut Dr Maszlee yang juga terkenal sebagai moderator tetap Wacana Sinar Harian, universiti di negara ini lebih berupaya menjana pendapatan sendiri sekiranya institusi pendidikan tinggi itu memiliki kuasa autonomi.

Dr Maszlee turut memberikan contoh beberapa universiti terkenal dunia yang berjaya mengaplikasikan sistem wakaf dan pembiayaan tertentu dari syarikat korporat bagi menjana pendapatan mereka.

“Kalau universiti itu autonomi mereka akan cuba menjana pendapatan mereka dan di sini peranan syarikat-syarikat sektor swasta perlu digembeling untuk apa yang dikatakan CSR-tanggungjawab sosial korporat dan juga sistem wakaf perlu digembeling untuk membantu menyemarakkan universiti yang autonomi.

“Kita lihat bagaimana Universiti Al-Azhar boleh ‘sustain’ melalui wakaf, Havard, Cambridge, Oxford melalui ‘endowment’.

“Saya rasa sebagai umat Islam kita ada alternatif wakaf yang begitu ‘power full’ yang boleh digunakan dan jikalau ‘university autonomous’ (bebas berpemerintahan sendiri) kita lihat pelajar akan terikat dengan universiti berbanding dengan kerajaan. Saya lebih nampak ke arah tersebut,” kata beliau.

Kuasa autonomi yang dimiliki oleh pihak universiti juga mampu mengelak berlaku permainan politik di kalangan ahli akademik akibat campurtangan kuasa politik luar.

“Pertama sekali bila universiti autonomi, pemimpin di peringkat teratas sekali seperti Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor sudah pasti tidak akan berlaku politiking.

“Ini kerana selama ini berlaku politiking untuk seorang itu naik akan berlaku perlumbaan terutama untuk mendapat keredaan pihak berkuasa, kerana berlaku politiking di situ.

“Tetapi kalau autonomi ia lebih bersifat meritokrasi, lebih disebabkan masing-masing membuktikan kemampuan dan orang yang dipilih berdasarkan kelayakan mereka, itu yang pertama,” katanya lagi.

Kuasa autonomi pihak universiti juga dikatakan mampu memeberikan kebebasan akademik kepada warga universiti di negara ini.

“Kedua, saya yakin apabila universiti semua autonomi bukan sekadar pensyarah, bukan sekadar para ahli akademik,  malah para pelajar juga akan menikmati kebebasan akademik mereka,” ujar beliau lagi.

Mengulas tuntutan pendidikan percuma oleh aktivis mahasiswa baru-baru ini, Dr Maszlee berkata pendidikan percuma bukanlah bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Dr Maszlee suatu bayaran minima yang lebih munasabah terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti yang berlaku di Jerman.

“Saya agak bersetuju dengan pendidikan percuma di peringkat universiti diberikan kepada rakyat, tetapi itu tidak menunjukan bahawa rakyat tidak akan keluar satu sen pun.

“Maksudnya, kita lihat bagaimana negara Jerman berikan pendidikan percuma tetapi akhirnya terpaksa mengenakan yuran atau bayaran yang minima kepada rakyat,” beritahu beliau.

Dr Maszlee turut melontarkan pendapat bahawa pemberian biasiswa kepada penerima yang layak selaras dengan konsep ekonomi pasaran bebas.

“Kita boleh katakan bahawa kita mahu biasiswa diberikan kepada pelajar tidak kira bumiputra atau bukan bumiputra berdasarkan kemampuan mereka.

“Bagi orang yang berpendapatan rendah, mereka berhak dapat, tetapi bagi anak-anak Datuk, anak-anak Tan Sri, anak-anak pengarah GLC, syarikat besar, saya tak nampak perlu beri biasiswa kepada mereka.

“Jadi biasiswa kita adalah untuk mereka yang memerlukan dan saya rasa ini selaras dengan apa yang kita katakan ekonomi pasaran bebas dan juga pada saya  di dalam isu pendidikan ini bukan sekadar isu PTPTN tetapi juga isu autonomi universiti,” beritahu beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.