Categories
NASIONAL

Anwar : Najib Patut Bentang Semula Belanjawan Negara 2012

SHAH ALAM,30 MEI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaan agar Belanjawan 2012 dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi Jun ini.

Menurut Anwar, pertumbuhan ekonomi yang lembap pada kadar 4.7 peratus dalam suku tahun pertama 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara.

Ini adalah kali kedua pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012.

Tegas Anwar, bukan sahaja Najib gagal memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011, pentadbirannya hanya mencapai 14.4 peratus pertumbuhan pelaburan swasta berbanding sasaran 16.2 peratus.

“Saya telah mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa kecenderungan beliau memanipulasi unjuran pertumbuhan ekonomi untuk mempamerkan angka defisit yang lebih rendah adalah tidak bertanggungjawab,” kata Anwar dalam kenyataan medianya.

Anwar menjelaskan,ketika perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2011, telah ditegaskan bahawa andaian ekonomi yang digunakan iaitu pertumbuhan 5.0 ? 5.5 peratus untuk 2011 dan 5 ? 6 peratus pada 2012, adalah tidak tepat.

“Kini terbukti bahawa andaian tersebut yang digunapakai dalam perancangan Belanjawan 2012 bersifat tidak absah.

“Pengumuman Bank Negara Malaysia pada 21 Mac 2012 yang menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 kepada 4 peratus hingga 5 peratus sahaja menyetujui gesaan saya supaya Belanjawan 2012 dibentangkan semula,” ujar Anwar.

Anwar berkata,jika Barisan Nasional berterusan membelanjakan wang negara berdasarkan belanjawan tersebut, ia akan memberikan kesan parah terhadap kadar defisit.

Lebih lagi, defisit boleh melangkaui had 55 peratus nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Leave a Reply

Your email address will not be published.