Categories
SELANGOR

Buku Kontroversi Irshad Manji, MB Serah Kepada Mahkamah

 

SHAH ALAM, 31 MEI : Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya ke atas syarikat penerbitan buku kontroversi Irshad Manji yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, keadilan serta keputusan terhadap perkara itu selayaknya dinilai dan ditentukan oleh mahkamah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas Mesyuarat Exco di SUK, di sini.

“Saya berpendapat tindakan Jais adalah berasaskan kepada akta atau enakmen yang betul, maka dengan kuasa itu, Jais mengambil tindakan. Jais juga sudah tentu akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya. Biar mahkamah sahaja yang tentukan,” katanya.

Sebelum ini, Jais menyerbu pejabat syarikat penerbitan buku kontroversi ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ karya pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Irshad Manji.

Serbuan ke atas syarikat penerbitan ZI Publications milik Ezra Zaid di Jalan Tropicana 1, PJU 3 itu dilakukan empat pegawai dan 16 anggota penguat kuasa Jais.

Operasi itu dibuat mengikut Seksyen 16(1)(a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor berhubung “kesalahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak” mengikut waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam kelmarin.

Difahamkan, dalam serbuan itu, sebanyak 180 naskhah buku kontroversi itu dirampas dan kesemuanya siap dibungkus dipercayai untuk diedarkan.

Bagaimanapun destinasi pengedaran buku itu belum dipastikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.