Categories
NASIONAL

Guan Eng Tidak Akan Jemput Lagi Media Umno

 

SHAH ALAM 4 MEI : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak menjemput mana-mana media milik Umno/BN ke sebarang majlis anjuran kerajaan negeri.

Tindakan itu juga menurut beliau sebagai langkah mempertahankan diri daripada menjadi mangsa siri fitnah dan putar-belit Umno/BN yang semakin menggila akhir-akhir ini.

“Kita percaya dalam kebebasan akhbar namun keengganan media Umno/BN mematuhi etika kewartawanan, apatah lagi memberikan saya peluang untuk menjawab atau membetulkan berita palsu memaksa saya untuk menolak apa-apa liputan berita mereka.

“Memang kita mahukan liputan berita tetapi jika liputan berita yang diberikan penuh dengan penipuan dan putar belit, rasanya lebih baik tiada liputan berita langsung,” ulas Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempertikaikan keengganan media Umno/BN untuk memohon maaf terhadapnya atas kesilapan laporan berita mereka berhubung dakwaan Perkasa bahawa beliau bertemu dengan pimpian parti PAP dari Singapura.

“Mereka sudah mengeluarkan kenyataan maaf kepada Datuk Seri Kalimullah dan Datuk Azman yang didakwa bersama saya berjumpa PAP namun tidak melakukan perkara yang sama terhadap saya walaupun atas permintaan peguam saya.

“Oleh itu, saya saya akan meneruskan saman saya di Mahkamah Tinggi terhadap Perkasa, New Straits Times Press dan Utusan Melayu (Bhd) terhadap fitnah dilemparkan,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sehubungan itu juga, beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang bertegas untuk mengambil inisiatif menghalang media Umno/BN dari terus menyiarkan laporan palsu kepada rakyat.

“Saya tidak mempunyai sumber dan keupayaan untuk memfailkan tindakan mahkamah setiap kali media Umno/BN memfitnah dan memburukkan saya.

“Sehingga kini, sebagai contoh, News Straits Times masih terus memfitnah saya walau tidak dijemput membuat liputan, jadi bayangkan berapa banyak lagi tindakan mahkamah yang perlu difailkan jika saya menjemput mereka membuat liputan berita di majlis saya?” akhiri Guan Eng dalam kenyataan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.