Categories
NASIONAL

PKR Gesa Faedah Pinjaman Perumahan Penjawat Awam Diturunkan

SHAH ALAM, 29 MEI : PKR menuntut kadar faedah pinjaman perumahan bagi penjawat awam pada tahap empat peratus sekarang diturunkan segera sekurang-kurangnya kepada 2.5 peratus hingga 3.5 peratus sebagai permulaan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terdapat 60 peratus penjawat awam berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 tidak mampu memiliki rumah sendiri adalah bukti kegagalan kerajaan BN merangka dasar jangka panjang yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat.

“Dengan pendapatan bulanan kekal di bawah RM3,000 biarpun sudah berpuluh tahun berkhidmat, penjawat awam hanya mampu menyewa atau  memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin memandangkan kenaikan mendadak harga hartanah beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Izzah dalam kenyataan media.

Jelas Izzah,  elaun tetap perumahan yang diberi tidak mencukupi kerana kenaikan purata harga rumah di Malaysia pada tahun 2011 berdasarkan Indeks Harga Rumah ialah pada kadar 9.9 peratus di mana kadar kenaikan adalah lebih tinggi di Lembah Kelang, iaitu 12.2 peratus bagi Kuala Lumpur dan 11.3 peratus bagi Selangor.

Ini menunjukkan kegagalan skim “My First Home” yang diperkenalkan pada tahun 2011 kerana institusi kewangan tidak mungkin dapat memberikan pinjaman 100 peratus kepada mereka yang bergaji di bawah RM3,000.

“Sebagai ilustrasi, pinjaman bagi rumah berharga RM400,000, jika dibayar pada kadar 4.3 peratus selama 30 tahun akan menyebabkan individu tersebut terpaksa membayar sebanyak RM1,780 sebulan, lebih separuh daripada pendapatan seseorang individu bergaji RM3,000 sebulan,” kata Izzah.

Oleh itu, PKR menggesa agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi penjawat awam berpendapatan rendah diperhalusi dengan sistem kenaikan gaji dan elaun yang lebih teratur dan mencerminkan realiti kenaikan harga keperluan asas.

Ia sekaligus meningkatkan peluang dan hak mereka untuk memiliki kediaman pada kualiti yang memuaskan.

“Yang membimbangkan, sehingga hari ini, kita masih belum mendengar sebarang khabar berita mengenai Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam yang dijanjikan oleh Perdana Menteri,Najib Razak pada 8 Mac 2012 lepas,” ujar Izzah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.