Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Adun Umno-BN Selangor Gagal Bahas Isu Rakyat

SHAH ALAM 13 JULAI : Adun-Adun Umno-BN dianggap sangat lesu sehinggakan tidak sanggup masuk ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi membahaskan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata Adun-Adun BN ketika mengemukakan perbahasan tidak menampilkan hujah yang mantap dan cadangan yang bernas untuk kemajuan negeri dan rakyat.

Sehinggakan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman apabila perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan dibentangkan dan dibaca untuk kali pertama oleh Menteri Besar, beliau (Satim) tidak masuk dewan.

“Satim mesti mengambil tanggungjawab itu untuk berbahas dan kemukakan fakta dan hujah, namun tidak hadir ” kata Suee Lim dalam program Terus Terang yang dikelolakan TVSelangor.

Tambahnya lagi, kini rakyat Selangor sudah matang menilai kesungguhan Adun-Adun BN dalam memperjuangkan nasib rakyat ekoran ketidakhadiran mereka bagi membahaskan isu rakyat negeri ini.

Menurut Suee Lim, 20 Adun BN sewajarnya sudah menampakkan kekuatan bagi menggegarkan sidang DUN dengan perbahasan mantap namun sikap sambil lewa yang sering tidak masuk ke dalam sidang dewan dikesali.

“Walaupun diperjelaskan oleh Adun Templer, bahawa Ketua Pembangkang tidak datang bukan kerana tidak bertanggungjawab kerana ada urusan keluarga, tetapi apabila dinyatakan bahawa saya berjumpa dengannya dan berjabat tangan dengannya, maknanya dia datang cuma tidak masuk ke dewan.

“Ketua Pembangkang datang ke dewan sampai tahap tidak berani masuk untuk berdebat,” kata Suee Lim.

Tambah beliau kelesuan ini turut menular sehingga ke akar umbi BN di peringkat bawah.

“Umno hendak merampas negeri Selangor bukan untuk pertahankan hak rakyat, pemikiran mereka hanya untuk demi survival dari segi ekonomi mereka sahaja.

“Berbanding Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor yang hendak memperjuangkan hak rakyat, mengurus ekonomi dengan baik dan pengurusan ekonomi yang stabil dan mampan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.