Categories
NASIONAL

Ibu Bapa Faktor Penting Pengaruhi Kejayaan Anak-Anak

KLANG 29 JULAI : Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting kerana ia dapat mempengaruhi kejayaan seseorang anak.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Dr Halimah Ali berkata kejayaan itu bukan sahaja melibatkan peperiksaan biasa malah bagi dunia dan akhirat.

Katanya, ia turut memberi faedah kepada kedua-dua pihak di samping dapat membina jati diri seterusnya mengelakkan diri daripada perbuatan yang tidak berakhlak.

“Contohnya di Selangor, walaupun kita paling banyak mempunyai masjid dan surau tetapi masih banyak berlakunya gejala sosial.

“Ini merupakan satu cabaran untuk kita untuk memainkan peranan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya selepas merasmikan Program Tautan Kasih Sayang Menjana Kecemerlangan Anak-Anak Dunia Akhirat di Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (KITTIS).

Tambahnya, melalui perkara itu juga diharap penduduk Islam dapat menopoli ekonomi negeri akan datang.

Dalam program itu, kira-kira seramai 150 pelajar, ibu bapa dan guru Sekolah Rendah Agama Kampung Delek menyertai motivasi itu.

Ia berlangsung dengan sentuhan pakar motivasi, Yang Maha Mulia Raja Ismail Raja Shahadan atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Engku’.

Motivasi selama tiga jam itu bertujuan untuk menerapkan nilai kerohanian kepada anak-anak supaya menjadi pelajar yang berjaya serta memiliki peribadi unggul seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat.

Selain itu, ia juga untuk membentuk akhlak islam dikalangan peserta dan menjadikannya sebagai pegangan dan amalan hidup berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.