Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Jangan Terpedaya Janji PM, Pakatan Sudah Terbukti Lebih Baik


SHAH ALAM, 11 JULAI : Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya mentadbir Selangor dengan lebih baik dengan peningkatan ekonomi mampan walaupun berdepan sekatan peruntukan Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru, rakyat Selangor seharusnya jangan terpedaya dengan rayuan Perdana Menteri supaya memilih Umno-BN pada pilihanraya akan datang kerana sudah terbukti Selangor akan lebih maju di bawah Pakatan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ketidakadilan Kerajaan Pusat memberi cabaran besar untuk mentadbir Selangor dengan menggunakan sumber negeri yang berjaya dijana menerusi pentadbiran yang baik dan amanah.

“Menggunakan sumber negeri, kita tidak sekadar memenuhi janji-janji malah berjaya mencapai lebih daripada dijanjikan.

?Kerajaan Negeri Selangor berjaya mencegah rasuah di semua peringkat, menghentikan ketirisan sumber negeri dan hemah berbelanja.

?Hasilnya, Kerajaan Negeri Selangor berjaya meningkatkan simpanan tunai kerajaan dari RM400 juta pada 2008 hampir lima kali ganda ke RM1.9 bilion pada tahun lalu.

“Sebanyak RM700 juta dipulangkan semula kepada rakyat melalui program kebajikan di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

?Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Selangor terhadap janji untuk mengurus hasil negeri secara beramanah dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Manakala Kerajaan Pusat Umno-BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak bersikap tidak adil kepada rakyat Selangor.

Menurutnya, pembayar cukai di Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus terhadap jumlah cukai yang dikutip oleh Kerajaan Pusat.
Tetapi hanya tiga peratus daripada belanjawan negara dikembalikan kepada Selangor.

“Berbeza dengan Kerajaan Pakatan yang berasaskan nilai reformasi telah berjaya merakyatkan pentadbiran negeri dan mengembalikan semula hasil negeri kepada pemilik asal iaitu rakyat Selangor; Hasil Negeri Untuk Rakyat,” katanya.

Khalid juga menyangkal Najib yang berkata ekonomi negara akan hancur sekiranya Pakatan mentadbir.

Dakwaan Najib itu sama seperti dakwaan Umno Selangor dulu yang Kerajaan Negeri akan bankrup ketika mula-mula Pakatan memperkenalkan pemberian air percuma 20 meter padu.

Sebaliknya Khalid yakin jika dasar Buku Jingga dilaksanakan di peringkat Persekutuan, ekonomi negara akan bertambah baik dan rakyat mendapat lebih banyak manfaat kerana sumber kewangan akan diuruskan dengan lebih telus dan bertanggungjawab.

Sebagai contoh, Kerajaan Pakatan Selangor berjaya mengutip hutang daripada syarikat Talam kepada kerajaan negeri yang sudah berdekad dibiarkan pentadbiran lama Umno-BN Selangor.

“Perdana Menteri sepatutnya bertanya kepada tiga Menteri Besar Umno-BN sebelum ini mengapa lalai mengutip hutang-hutang ini??

Leave a Reply

Your email address will not be published.