Categories
NASIONAL

Umno Bela Kroni, Selangor Rugi RM1.088 juta


SHAH ALAM: Sikap medahulukan kroni dari rakyat menyebabkan Kerajaan Selangor Umno-BN dahulu rugi sampai RM1.089 juta daripada hasil jualan tanah yang boleh disalurkan kepada program rakyat.

Adun Sekinchan, Ng Sue Lim mendedahkan kerugian tersebut berpunca daripada potongan bayaran premium terhadap sebidang tanah berkeluasan 47,000 kaki persegi yang dijual kepada Umno Tanjong Karang.

Lebih sedih lagi, menurut Ng Sue Lim, penjualan tanah itu kepada Umno Tanjong Karang dibuat dengan diskaun 95 peratus.

Manakala, kebiasaannya rakyat hanya mampu mendapati diskaun 30 hingga 50 peratus untuk tanah yang sama.

“Tanah itu diluluskan pada ketika itu kepada Umno Tanjong Karang dengan premium tanah RM24 satu kaki persegi.

“Kemudian Umno Tanjong Karang membuat rayuan pada 2002 dan premium tanah itu dikurangkan oleh Majlis Exco dari RM24 kepada RM1.

?Sedangkan pada masa itu, tanah itu diluluskan dengan nilai premium RM1,135,824.

“Selepas dikurangkan, bayaran premium yang perlu dibayar oleh Umno Tanjong Karang hanyalah RM47,039. Ini merupakan pengurangan lebih 95 peratus dari RM1,135,824,” kata Sue Lim.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya  selepas dialog bajet Selangor 2012.

Menurut beliau, amalan Kerajaan Negeri Umno-BN ketika itu menetapkan diskaun maksima yang boleh diberikan terhadap rayuan pengurangan premium adalah sekitar 30 hingga ke tahap maksima 50 peratus.

Selain itu menurut Ng Sue Lim, bayaran premium RM1 hanya boleh dinikmati pemilik tanah berstatus pertanian, kampung baru dan kampung tradisional, bukannya tanah perniagaan seperti yang dibeli Umno Tanjong Karang.

“Oleh itu saya mendesak, Umno Tanjong Karang yang diketuai Ahli Parlimennya dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk menjelaskan kepada rakyat.

“Saya juga desak Umno Tanjong Karang bayar nilai premium sebenar tanah itu.

?(Atau) sekurang-kurangnya diberi potongan 30 peratus. Atau kembalikan tanah itu semula kepada Kerajaan Negeri bagi membuktikan Umno itu berintegriti, berwibawa dan cakap serupa bikin,” katanya.

Ketika dihubungi, Setiausaha Sulit Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Jasman Anuar, berjanji akan memberikan komen berhubung isu ‘diskaun’ premium tanah tersebut.

“Saya tak tahu menahu tentang isu ini, jadi saya tak dapat nak bagi komen apa-apa buat masa ini.

“Saya periksa dahulu isu ini dan saya akan hubungi anda kemudian,” ujarnya.

Ketika berita ini ditulis, Jasman masih belum menghubungi meja berita Selangor Kini.

Usaha untuk menghubungi Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Jaafar Maahad, juga menemui kegagalan apabila diberitahu beliau sedang bermesyuarat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.