Categories
NASIONAL SELANGOR

Hari Merdeka Untuk Semua Tidak Kira Fahaman Politik

SHAH ALAM, 31 OGOS : Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia ke-49 tidak seharusnya dipolitikkan, tetapi perlu dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang dan ideologi.

Demikian ujar Nurul Aini Mohamad Ali, 24, yang ditemui TVSelangor berhubung pandangannya terhadap erti dan semangat kemerdekaan yang dikecapi setiap rakyat di negara ini.

Menurutnya, hari merdeka seharusnya dirai penuh patriotik sebagai tanda hormati dan cintakan negara. 

“Merdeka bukan sahaja membebaskan diri daripada cengkaman penjajah, tetapi juga bebas daripada pemikiran negatif yang akan memecah belahkan rakyat di negara ini.

?Ia perlu dinikmati oleh semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan kaum,” katanya yang ditemui di sambutan Hari Merdeka peringkat Selangor di Dataran Kermerdekaan Shah Alam di sini.

Bagi Mohd Saffar Karusan, 21, sambutan kemerdekaan itu seharusnya dijadikan medium bagi semua rakyat untuk mengecapi kebebasan dari segenap aspek.

Beliau yang merupakan seorang pelajar berpendapat, kemerdekaan juga merujuk kepada pentadbiran negara yang adil serta bebas daripada amalan rasuah.

“Negara yang merdeka seharusnya bebas dari belenggu rasuah dan amalan korupsi.

?Sebaliknya pentadbiran yang adil dan telus adalah diperlukan untuk memastikan sesebuah negara itu terus mengecapi kemajuan,” jelasnya.

 Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan 56 kontinjen yang terdiri daripada pasukan tentera, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

Selain itu, ia turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan persembahan pancaragam.

Selain dihadiri barisan Exco Selangor, dianggarkan lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan kemerdekaan yang bertemakan “Sebangsa, Senegara, Sejiwa : Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.