Categories
NASIONAL

Isu Kafir Harbi:UMNO Mulakan Kempen Pelampau Agama

SHAH ALAM, 13 OGOS:Kerajaan Umno-BN kini kian terdesak untuk mengekalkan kedudukan mereka dan memulakan kempen pelampau agama dengan mengatakan bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR kerana bersekongkol dengan DAP.

Lebih mengaibkan, setelah diamanahkan mentadbir selama 54 tahun, Umno terpaksa menggunakan menggunakan isu kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) sebagai alat propaganda politik murahan.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, Umno tidak layak lagi diamanahkan mengurus negara ini selepas pilihanraya umum-13 kelak kerana secara jelas telah kehilangan arah dan ketandusan formula mengemudi rakyat kearah masa hadapan yang cerah.

“Dengan sikap yang ditonjolkan ini, nyatalah Umno begitu terdesak dan bankrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia keseluruhannya sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, rakyat di negara ini dikejutkan dengan pendapat seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Saimah yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud dan tidak mahu mendaulatkan islam.

Laporan yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia itu secara jelas menunjukkan Umno terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini yang akan mengakibatkan perhubungan diantara rakyat pelbagai kaum di negara ini menjadi tegang.

Sementara itu, Dr Muhammad berkata, konsep kafir harbi dan kafir zimmi(patuh kepada pemerintahan islam) perlu diperjelaskan kepada umum dengan lebih tepat.

Katanya, ramai tokoh ulama dan cendekiawan Islam memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syariah dan fiqh serta menganalisanya berasaskan realiti semasa.

Menurutnya, sebagai contoh, Penasihat kepada Kerajaan Tunisia yang baru, Sheikh Rashid Ghanoushi di dalam beberapa tulisan ilmiahnya berkata kafir harbi dan zimmi tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana umat Islam hari ini berada di dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara Muslim dan bukan Muslim.

“Sheikh al-Ghanoushi menganjurkan konsep al-muwatinun(kewarganegaraan) untuk diguna pakai sebagai alternatif yang lebih berkesan,” katanya.

Manakala Shaikh Taha Jabir al-ëIlwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa dan bersetuju bahawa konsep berkaitan kafir zimmi, kafir harbi memang dicipta oleh para ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah.

Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.

Katanya, Kerajaan Mesir kini yang dipimpin tokoh Ikhwan al-Muslimin iaitu Dr Muhammad Mursi berusaha merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata.

Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi dan hasilnya semua warganegara mesir yang terdiri daripada Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain berhak mendapat perlindungan sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.