Categories
NASIONAL

Kit Siang : Manipulasi Statistik Jenayah, PM Perlu Beri Penjelasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus tampil memberi penjelasan berkenaan pendedahan bahawa terdapat usaha tertinggi memanipulasi kadar statistik jenayah di Malaysia.

Ketua Parlimen DAP,  membuat gesaan tersebut merujuk kepada sepucuk surat oleh seorang pegawai polis yang mendakwa pasukan itu dengan sengaja mengubah perangkaan jenayah.

“Usaha memanipulasi dan mengubah statistik jenayah tersebut didakwa memberi gambaran salah tentang penurunan drastik kadar jenayah dalam tiga tahun ini walhal ini bukan perkara betul.

“Ini sudah masuk hari kelima pendedahan tersebut dilakukan dan menteri-menteri berkaitan masih lagi ‘senyap’, tiada sebarang penjelasan,” jelas Lim dalam kenyataan medianya.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein serta dua Menteri Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Datuk Sri Idris Jala and Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tampil memberi penjelasan.

Beliau turut mempersoalkan kemungkinan Najib sendiri sedar dengan aktiviti memanipulasi statistik jenayah ini sehingga beliau menjadikan ‘Selamatkan Malaysia’ sebagai tema mesej Hari Raya minggu lepas.

“Mengapa perlu menjadikannya sebagai tema sedangkan sebelum ini BN yang 55 tahun memerintah mendakwa bahawa mereka berjaya sebagai sebuah kerajaan.

“Melainkan kalau mereka merasakan Malaysia ini tidak lagi selamat untuk rakyat, pelabur dan juga pelancong.

“Mereka juga sebelum ini giat mencanang kejayaan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam menurunkan kadar jenayah walau hakikatnya kita tidak pernah merasa selamat di luar mahupun di kawasan rumah,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Justeru, beliau berkata sekiranya tiada sebarang penjelasan memuaskan berkenaan dakwaan tersebut, tema ‘Janji Ditepati’ Kerajaan Pusat tidak lebih daripada sekadar satu ejekan kepada BN sendiri.

“Jika menteri-menteri berkaitan tidak tampil menjelaskan, maka kepercayaan orang ramai terhadap Perdana Menteri dan program transformasinya pasti berkecai di bawa angin,” akhiri beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.