Categories
NASIONAL

Laporan Utusan ‘Haram Sokong DAP’ Bukti Slogan 1 Malaysia Gagal

SHAH ALAM 9 OGOS : Laporan Utusan Malaysia milik Umno yang  bertajuk ‘Haram Sokong DAP’ membuktikan bahawa slogan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam mewujudkan perpaduan negara selaras dengan slogan terbabit.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata ia merupakan usaha untuk memecahbelahkan rakyat dan perpaduan di negara ini.

“Tiada bukti yang lebih kukuh kepada penghancuran polisi itu dalam tiga tahun ini. Sedangkan ia sepatutnya menjadi penyumbang utama kepada usaha pembangunan negara.

“Ia menunjukkan bukti berkecainya polisi slogan 1Malaysia dan dakwaan itu menunjukkan mereka anti-nasional dan anti-Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, kemungkinan benar wujudnya konspirasi yang membuktikan benar ramalan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pilihan raya umum ke 13 akan memfokuskan kepada isu perkauman.

“Itu tanggapan Mahathir, beliau pernah berkata kini, Malaysia jauh lebih rasis berbanding sebelum ini.

“Adakah disebabkan itu saya difitnah seperti dalam filem ‘Tanda Putera’ yang mengatakan saya memprovokasi dan mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dalam perhimpunan jalanan, membunuh Melayu serta kencing dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor?

“Yang jelas ia fitnah semata-mata kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969,” katanya.

Lim turut mempersoalkan peranan akhbar itu untuk menimbulkan dan mengapi-apikan ketegangan dan konflik perkauman di negara ini.

“Najib sudah hilang kawalan keatas akhbar itu yang didalangi konco-konco mereka yang tidak mempedulikan polisi rasmi Umno-BN,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.