Categories
NASIONAL

Laporan Utusan ‘Haram Sokong DAP’ Bukti Slogan 1 Malaysia Gagal

SHAH ALAM 9 OGOS : Laporan Utusan Malaysia milik Umno yang  bertajuk ‘Haram Sokong DAP’ membuktikan bahawa slogan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam mewujudkan perpaduan negara selaras dengan slogan terbabit.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata ia merupakan usaha untuk memecahbelahkan rakyat dan perpaduan di negara ini.

“Tiada bukti yang lebih kukuh kepada penghancuran polisi itu dalam tiga tahun ini. Sedangkan ia sepatutnya menjadi penyumbang utama kepada usaha pembangunan negara.

“Ia menunjukkan bukti berkecainya polisi slogan 1Malaysia dan dakwaan itu menunjukkan mereka anti-nasional dan anti-Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, kemungkinan benar wujudnya konspirasi yang membuktikan benar ramalan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pilihan raya umum ke 13 akan memfokuskan kepada isu perkauman.

“Itu tanggapan Mahathir, beliau pernah berkata kini, Malaysia jauh lebih rasis berbanding sebelum ini.

“Adakah disebabkan itu saya difitnah seperti dalam filem ‘Tanda Putera’ yang mengatakan saya memprovokasi dan mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dalam perhimpunan jalanan, membunuh Melayu serta kencing dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor?

“Yang jelas ia fitnah semata-mata kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969,” katanya.

Lim turut mempersoalkan peranan akhbar itu untuk menimbulkan dan mengapi-apikan ketegangan dan konflik perkauman di negara ini.

“Najib sudah hilang kawalan keatas akhbar itu yang didalangi konco-konco mereka yang tidak mempedulikan polisi rasmi Umno-BN,”katanya.

Categories
NASIONAL

‘Tanda Putera’ Didakwa Semarak Perkauman, PR Mahu Dikaji Semula

PETALING JAYA  7 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) mendesak agar kerajaan mengkaji semula kelulusan tayangan Filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 September nanti.

Menurut kenyataan bersama PR itu, terdapat maklumat bahawa filem arahan pengarah terkenal, Shuhaimi Baba itu mengandungi unsur-unsur menyemarakan semula api perkauman di negara ini.

“Kita dah dapat gambaran sedikit tentang apa yang akan ditayangkan itu dan kami merasakan kandungan dari filem ini tidak mengambarkan suatu usaha yang benar-benar menyatukan rakyat.

“Thrill’ filem ini pun dah tengok, nampak hanya membakarkan api perkauman di negara ini.

“Bagaimanapun kami mahu kerajaan dapat tayangkan kepada kami terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada umum supaya kita boleh beri pandangan,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menambah, selain filem bertema kemerdekaan yang dijadikan hak milik Umno-BN, pengunaan dana kerajaan dalam pembikinannya juga dilihat sebagai tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dan berfikiran sempit.

Tanda Putera merupakan sebuah filem yang mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail.

Watak Abdul Razak dalam filem ini merujuk kepada bapa kepada Perdana Menteri yang ada sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Antara yang dipaparkan semula dalam filem tersebut adalah sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969.