Categories
NASIONAL

Faekah : Cubaan Muhyiddin Ubah Kurikulum Sejarah Untuk Tingkat Semangat Patriotik Diragui

SHAH ALAM 6 SEPT: Cadangan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menukar kurikulum subjek sejarah di sekolah kononnya bagi menaikkan semangat patriotik pelajar diragui oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Ini kerana menurut Faekah, alasan patriotik Muhyiddin dibimbangi untuk kepentingan politik di mana hanya mengajak rakyat untuk setia kepada Umno sahaja.

Menurut Faekah, jika ini yang dihasratkan Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran ia sangat tidak patriotik.

Ditambah lagi, sikap tidak patriotik terserlah apabila Muhyiddin bertindak kejam dengan tidak membenarkan pihak sekolah (di Selangor) menggantung gambar-gambar pemimpin negeri terutama gambar Menteri Besar Selangor.

“Muhyiddin sepatutnya menggunakan kuasanya sebagai menteri penuh untuk meningkatkan mutu dan sistem pendidikan negara. Sebaliknya Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang pemimpin kerajaan Negeri Selangor memasuki sekolah kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan ini, jelas menunjukkan Muhyiddin mengamalkan politik sempit dengan menguatkuasakan peraturan berat sebelah.

“Kini beliau bercakap isu meningkatkan kesedaran patriotik tetapi sedarkah perbuatan beliau telah membunuh semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi sebagai pemimpin untuk pelbagai kaum di Malaysia, kita sepatutnya bersatu dan bekerjasama membangunkan serta memajukan lagi sistem pendidikan negara,” ujar Faekah lagi.

Tambahnya, jika kehadiran ahli politik ke sekolah akan menganggu pemikiran pelajar, kuatkuasakan larangan kepada semua parti bukan terhad kepada pemimpin Pakatan Rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, pemimpin BN bebas keluar masuk ke sekolah tanpa halangan.

“Muhyiddin dan pemimpin BN di Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka telah kalah pada pilihan raya umum yang lalu dan bukan lagi pentadbir di negeri ini. Hormati keputusan rakyat untuk memiliki kepimpinan yang baharu,” tegas Faekah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.