Categories
SELANGOR

PKPIM : Tindakan Buang Pelajar Keterlaluan

 

SHAH ALAM 6 SEPT : Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) beranggapan tindakan membuang pelajar terlibat insiden menunjukkan punggungnya kepada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai keterlaluan.

Menurut Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pendekatan itu bakal menjejaskan masa depan Muhammad Ammar A Rahman, 19, dari segi jangka panjang berikutan dia pasti sukar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian lain serta mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata, satu jalan penyelesaian perlu diambil supaya kedua-dua pihak iaitu pusat pengajian dan pelajar tersebut mendapat pertimbangan di dalam perkara berkenaan.

“Sewajarnya di peringkat ini perlu ada satu mekanisma iaitu proses membentuk pelajar seperti memberi nasihat atau kaunseling sebagai jalan penyelesaian. Segala tindakan diambil mestilah tidak menjejaskan atau mendatangkan kesan negatif terhadap pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Dalam kejadian 30 Ogos lalu, Muhammad Ammar serta beberapa individu didakwa melakukan aksi berkenaan sewaktu menyertai himpunan Janji Demokrasi sempena sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur.

Biarpun dari segi adab, tegasnya, tingkah laku pelajar tersebut tidak menepati budaya masyarakat di negara ini namun perbincangan antara pihak berkaitan perlu diadakan bagi mencari jawapan mengapa tindakan sebegitu diambil oleh pelajar tersebut.

“Lagipun pelajar tersebut telah memohom maaaf akan kesalahan dilakukannya,” katanya lagi.

Media tempatan di negara ini semalam melaporkan Muhammad Ammar, pelajar Diploma Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics dikenakan tindakan buang kolej selepas ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Prof Dr Nazaruddin Mohamed berkata pihak kolej memandang serius perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pelajar yang terbukti terlibat dalam insiden berkenaan.

“Tindakan ini diambil berdasarkan pengakuan bertulis pelajar berkenaan dan peraturan tatatertib serta disiplin dan pihak kolej telah mengambil keputusan membuang pelajar ini daripada pengajiannya. Malah keputusan ini adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak boleh dikemukakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.