Categories
NASIONAL

Fungsi Bertindih Dengan Khazanah, 1MDB Akan Dimansuh

KUALA LUMPUR 26 SEPT: Fungsinya bertindih dengan Khazanah Nasional Bhd menyebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dimansuhkan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi taklimat Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat hari ini, kewujudan 1MDB bukan sahaja menyebabkan perbelanjaan pengurusan meningkat, malah ia turut dijadikan platform pemimpin Umno-BN mengawal harta kerajaan.

“1IMDB ini adalah suatu helah untuk menetapkan supaya Perdana Menteri mempunyai kuasa langsung dalam syarikat mega ini.

“Perdana Menteri di bawah Pakatan Rakyat tidak harus berbuat begitu, tetapi menyerahkan hanya kepada Khazanah.

“Tak perlu satu syarikat untuk dipantau oleh Perdana Menteri atau keluarganya,” ujar beliau.

Selain itu, Anwar dalam taklimat belanjawan yang diadakan di bilik taklimat Dewan Rakyat di sini berkata Khazanah juga akan dikenakan dividen sebanyak RM2 bilion

“Polisi dividen minimum sebanyak RM2 bilion setahun dikenakan kepada Khazanah untuk meningkatkan akauntabiliti dan peranannya dalam pembangunan negara, sama dengan peranan yang dimainkan oleh Petronas selama ini,” kata Anwar lagi.

Sebelum itu Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat itu diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Belanjawan tersebut bertema ‘Ekonomi Rakyat, Negara Berkat’.

Leave a Reply

Your email address will not be published.