Categories
SELANGOR

Hukuman Pesalah Rogol Bawah Umur Perlu Lebih Serius

SHAH ALAM 7 SEPT : Hukuman ke atas pesalah dalam kes rogol statutori(bawah umur)harus dipandang serius bukannya hanya dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik sahaja oleh pihak mahkamah.

Dalam satu kenyataan media oleh Lawyers for liberty (LFL) berkata hal itu kerana kanak-kanak dan remaja bawah umur seharusnya dilindungi oleh sistem perundangan jenayah selain memberi sokongan kepada mereka.

Katanya, bagi memastikan mereka dilindungi, pesalahlaku seks perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut norma-norma dan pembuktian undang-undang jenayah.

“Golongan kanak-kanak dan remaja di bawah umur paling terdedah kepada bahaya jadi sewajarnya perundangan mengambil kira kepentingan mereka dan memberikan perlindungan khas,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan LFL merujuk kepada isu kontroversi baru-baru ini yang melibatkan dua kanak-kanak perempuan berumur 13 dan 12 tahun yang mana pelakunya yang masing-masing berumur 19 dan 21 tahun tidak dipenjarakan.

Sebaliknya hanya dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik oleh Mahkamah dan pembebasan oleh Mahkamah Tinggi terhadap seorang pemilik pusat asuhan kanak-kanak sedangkan didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak berumur 4 tahun.

“Kita sedia maklum bahawa kanak-kanak bawah umur (bawah 16 tahun) tidak berada dalam posisi untuk memberi persetujuan dalam hubungan seksual oleh itu ia diambil kira sebagai rogol tanpa mengambil kira isu persetujuan.

“Jadi hukuman yang dijatuhkan dalam kedua-dua kes berkenaan, mungkin dilaksanakan dengan tidak wajar kerana kerana jarak usia antara pelaku dengan mangsa adalah agak jauh dan bukanlah keadaan yang mana kedua-dua mereka berada dalam lingkungan umur yang sama,” dakwa kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, pelaku bagi kes itu sepatutnya dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dengan mengambil kira faktor antaranya umur pelaku, laporan pakar perubatan, latar belakang dan fakta mengenai hubungan mereka sama ada terdapatnya elemen kekerasan atau paksaan.

Sebelum ini, Mahkamah Seksyen Pulau Pinang, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan RM25,000 supaya berkelakuan baik atas kesalahan merogol teman wanitanya berusia 12 tahun sebanyak dua kali tahun lalu.

Mahkamah mengambil kira faktor Chuah yang masih muda dan kesalahan pertama serta hakikat bahawa perbuatan seksual adalah persetujuan bersama dan dia juga seorang murid tercicir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.