Categories
NASIONAL

MCA Dicabar Bentang Laporan Audit NFC Sebelum Pertikai Audit Talam

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Negeri Selangor mencabar Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong untuk membentangkan laporan audit dan kertas putih melibatkan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada umum bagi membuktikan ketelusan Kerajaan Pusat.

Cabaran itu disuarakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai respon kepada kenyataan Tee Yong sebelum ini yang mempersoalkan kredibiliti badan audit bebas antarabangsa, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd berhubung isu Talam.

Beliau berkata, sekiranya Tee Yong berani mendedahkan laporan audit NFC, maka Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk membuat perkara sama berhubung penyusunan semula hutang Talam Corporation.

“Saya rasa kalau betul Tee Yong nak berdebat, apa kata dia bawa akaun NFC dan bentangkan kepada umum, kemudian kita pula akan bawa akaun Talam. Kita tunjukkan kajian yang dibuat.

“Umno-BN boleh panggil kita bila-bila masa sahaja untuk beri keterangan lanjut berhubung perkara ini. Malah, Kerajaan Negeri tidak akan keberatan untuk aturkan pertemuan pimpinan Umno-BN bersama juru audit yang dilantik supaya mereka benar-benar faham,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Selangorku, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata laporan dan aduan MCA terhadap isu Talam juga dianggap sebagai tidak relevan dan boleh diabaikan.

Beliau berkata, juru audit bebas yang dilantik itu juga dengan jelas menunjukkan langkah yang dibuat Kerajaan Negeri bagi mengutip semula hutang adalah munasabah dan terbaik.

“Saya meminta empat wakil negeri untuk menjadi jurucakap berhubung isu ini. Jadi baik Umno atau MCA boleh pilih sesiapa sahaja yang mereka suka untuk beri penerangan.

“Kerajaan Negeri berhak mengutip semula hutang itu tanpa ada sebarang diskaun. MCA perlu baca dan fahamkan kenyataan itu sebelum membuat sebarang dakwaan,” katanya lagi.

Abdul Khalid kelmarin memaklumkan Kerajaan Negeri membuat keputusan komersial yang baik dalam penyelesaian hutang Talam yang dibuktikan menerusi badan audit bebas antarabangsa yang dilantik, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd.

Beliau turut menjelaskan perkara itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri mengutip sejumlah RM392 juta hutang daripada Talam dilaksanakan dengan tertib dan mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.