Categories
SELANGOR

PKNS Nafi Terlibat Aktiviti Curi Air

SHAH ALAM, 23 SEPT : PKNS Infra Berhad (PIB) menafikan penglibatannya dalam aktiviti kecurian air di bandaraya ini sepertimana laporan akhbar New Straits Times bertajuk “Water theft rap for PKNS arm” pada 20 September lalu.

Dalam satu kenyataan media, jurucakapnya berkata, PIB sebagai anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan membiarkan pekara itu berlaku atau sebarang aktiviti sepertinya yang bertentangan dengan undang-undang.

“PIB melihat perkara ini dengan serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu dan/atau syarikat yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa mengenai perkara ini,” kata jurucakap itu.

Kenyataan itu seterusnya menjelaskan semua kontraktor dan subkontraktor terlibat dengannya dimestikan untuk mematuhi garis panduan dan peraturan yang betul.

Menurutnya, PIB sentiasa memberi penekanan yang besar dalam memastikan bahawa semua garis panduan pengawalseliaan dipatuhi dan akan terus bekerja rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk menghalang kegiatan itu.

Dalam perkembangan itu, adalah dimaklumkan oleh Iswarabena Sdn Bhd (Iswarabena) bahawa mereka membuat laporan polis di mana pihak yang bertanggungjawab dikenalpasti.

“Satu salinan laporan juga disediakan untuk PIB dan PIB diberi kuasa untuk merujuk kepada kandungan itu. Dalam laporan itu, pihak yang bertanggungjawab dinamakan sebagai Babu a / l Pala yang digambarkan sebagai kontraktor bebas Iswarabena.

“PIB menegaskan bahawa kedua-dua Iswarabena dan Babu adalah pihak bebas dan tidak mewakili PIB. Oleh itu ia adalah salah dan tidak bertanggungjawab apabila melaporkan bahawa PIB bertanggungjawab dalam kejadian kecurian air itu,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan untuk tujuan itu boleh berhubung dengan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Mohd Amin Abdul Manaf di talian 03 – 6141 8990 atau e-mel: [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published.