Categories
SELANGOR

Selangor Cadang Bina Pusat Kebudayaan Pelbagai Kaum Di Tebing Sungai Klang

SELAYANG 24 SEPT : Bagi memartabatkan adat dan budaya pelbagai kaum di Selangor, Kerajaan Negeri bercadang membina pusat kebudayaan yang mengabungkan kebudayaan Melayu, Cina dan India di kawasan sekitar tebing sungai Klang tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dengan wujudnya pusat kebudayaan tersebut maka usaha memelihara dan mengembangkan adat budaya bangsa dapat diteruskan.

Menurutnya, dengan cara itu segala bentuk maklumat serta bahan berkaitan adat kebudayaan mengenai tiga bangsa utama di negara ini dapat ditempatkan dan ditunjukkan kepada umum untuk dihayati.

“Pembinaan pusat kebudayaan seperti ini adalah penting supaya adat budaya kita kekal di samping terus membesar dan membangun seiring dengan kemajuan negara.

“Tiada gunanya menjadi negara maju tetapi hilang asasnya iaitu adat kebudayaan kita,” katanya ketika berucapa di majlis perasmina Festival Jalanan Daerah Gombak dan Festival Silat Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat) merangkap Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin A’ala.

Dalam majlis tersebut lebih 300 orang termasuk peserta hadir bagi memeriahkannya yang disulami pelbagai acara seperti pertandingan permainan batu seremban, galah panjang, boling buah kelapa, sepak raga kain pelekat, congkak serta pertandingan silat dari beberapa pertubuhan seperti cekak, gayung, lian padukan dan cemandi.

Dalam sidang media, Abdul Khalid merakamkan tahniah kepada Padat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain yang terlibat dalam menjayakan program itu.

Beliau berkata, usaha itu adalah membanggakan dan perlu disokong demi mengangkat adat budaya tradisional kita.

“Selepas ini akan diadakan lagi program berkaitan adat budaya dari daerah ke daerah di dalam Selangor,” katanya.

Sementara itu, pemenang acara silat gayung, Khairul Anuar Yayah, 24, berkata dia gembira selepas berjaya menjuarai acara silat solo putera yang dipertandingkan melibatkan 10 peserta.

“Saya teruja dengan cabaran dihadapi dan kejayaan ini adalah berkat usaha saya yang tekun mendalami seni persilatan Melayu.

“Saya harap program seperti ini akan diteruskan lagi dan usaha Kerajaan Negeri untuk membanyakkan program berkaitan adat budaya wajar disokong oleh semua warga negeri ini,” kata penuntut Tahun Pertama British Malayan Institute (BMI) itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.