Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Ingatkan Jemaah Haji Supaya Patuh Undang-undang Saudi Arabia


SHAH ALAM, 2 SEPT : Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini yang bakal menunaikan haji atau umrah supaya patuh pada undang-undang Saudi Arabia.

“Beta menasihatkan mereka yang akan ke Makkah dan Madinah menumpukan niat untuk beribadah kepada Allah S.W.T dan bukannya tujuan-tujuan yang lain,” titah baginda.

Ini kerana sebarang perbuatan yang tidak baik boleh menjejaskan nama baik rakyat Malaysia dan juga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Baginda bertitah di dalam ucapannya di Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji 2012 Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Baginda turut menasihatkan para jemaah haji supaya menjaga nama baik Selangor dan Malaysia amnya yang telah dikenali di kalangan pemimpin negara Arab itu sebagai jemaah yang paling berdisiplin dan terbaik.

“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini menasihatkan supaya bakal-bakal haji sekelian supaya mengambil berat mengenai aspek penjagaan kesihatan mulai dari tanah air sehinggalah sepanjang masa berada di tanah suci.

“Segeralah berjumpa pegawai perubatan di klinik-klinik yang disediakan pihak tabung haji sekiranya mengalami masalah kesihatan sewaktu berada di tanah suci nanti,” titah baginda.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan cenderamata kepada wakil bakal-bakal haji.

Baginda diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Kursus Perdana Haji yang diadakan itu menghimpunkan semua bakal haji dari seluruh Negeri Selangor di mana seramai hampir 4,500 peserta dijemput menyertai kursus tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.