Categories
SELANGOR

Terharu Dipilih Tunai Ibadah Haji Bersama Keluarga


SHAH ALAM, 2 SEPT : Penantian pasangan warga emas untuk menjejak kaki ke tanah suci Makkah bagi menunaikan ibadah haji akhirnya terbalas apabila mereka terpilih untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Lebih terharu apabila mereka dapat menunaikan ibadah haji, yang  dinantikan sejak 2007, bersama ahli keluarga yang lain.

Siti Solikha Hamid, 53, beliau tidak dapat menahan sebak tatkala ditemuramah TV Selangor berhubung harapan dan perasaannya.

Menurutnya, segala persiapan telah dilakukan dan hampir selesai secara beransur-ansur sebelum meninggalkan tanah air ke tanah suci Makkah.

“Harapannya terlalu tinggi. Semoga saya dan semua ahli keluarga dan para jemaah lain dapat memperoleh haji mabrur.

?Perasaan gembira itu sukar untuk digambarkan. Syukur Alhamdulillah,” katanya dengan linangan air mata selepas menyertai Kursus Perdana Haji di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Siti Solikha berasa syukur yang dia telah dipilih untuk menunaikan haji pada tahun ini bersama suami, adik, anak dan menantunya.

Suami beliau, Ahmad Tubi Saikon, 68, turut berkongsi perasaan sama dan berharap urusan hajinya dipermudahkan serta diberkati oleh Allah S.W.T.

“Saya bersyukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa kerana terpilih menunaikan ibadah haji bersama anak dan isteri serta menantu.

?Alhamdulillah kami menerima jemputan daripada Tabung Haji dan ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki ke sana,” katanya.

Seramai hampir 4,500 peserta haji dari seluruh Selangor terpilih untuk menyertai ibadah haji tahun ini yang dijangka berlepas pada 17 September depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.