Campur Tangan Najib Sekat Perkembangan Petronas

KUALA LUMPUR, 24 OKT : Campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di dalam keputusan yang melibatkan Petronas dilihat memberi kesan buruk kepada syarikat gergasi minyak dan gas negara.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata campurtangan ini dilihat di dalam kegagalan Petronas mengambil alih syarikat gas Progress Energy Resources di Kanada.

Menurut Rafizi, kegagalan Petronas mengambil alih Progress Energy Resources merupakan satu perkembangan yang membimbangkan.

“Dalam bulan September 2012, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings telah mengumumkan bahawa ia merendahkan penilaian prospek Petronas menjadi ‘negatif’.

“Ini kali pertama dalam sejarah Petronas yang panjang apabila syarikat penarafan antarabangsa melahirkan kebimbangan mengenai kestabilan kewangan dan reputasi di mata pelabur,” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen yang turut dihadiri oleh MP Machang, Datuk Saifuddin Nasution dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Di laporkan sebelum ini bahawa Progress Energy Resources mempunyai rizab gas sebanyak 1.9 trilion kaki padu dan memiliki rizab tanah seluas 1.25 juta ekar di seluruh Kanada.

Tegasnya, Petronas pasti mempunyai alasan kukuh untuk mengambil alih syarikat berkenaan yang akan menjadi sebahagian daripada aset strategiknya.

Ujar beliau lagi, Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya kedudukan kewangan Petronas dituruntarafkan selepas ini, kesan campur tangan pentadbiran beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.