Categories
NASIONAL

MB Johor Diajak Berdialog Isu RAPID

KUALA LUMPUR, 8 OKT : MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub akan menghantar surat jemputan dialog berkenaan projek RAPID di Pengerang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Salahuddin sebelum ini telah mempersoalkan keperluan mengambil-alih tanah penduduk 10 dari kampung tradisi di sekitar Pengerang bagi memberi laluan kepada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas yang bernilai RM60 bilion itu.

“Kalau fobia sangat dengan debat, tidak apa. Mungkin saya akan datang (ke sesi dialog) dengan pakar pembangunan hartanah serta dari sektor petroleum dan gas,” kata Salahuddin dalam sebuah sidang media di lobi Perlimen hari ini.

Beliau berkata sesi dialog berkenaan adalah penting bagi mencapai objektif “pembangunan lestari” yang tidak menjejaskan kepentingan penduduk setempat.

Mengulas cabaran Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said untuk berdebat mengenai isu Rapid, Salahuddin berkata perkara utama adalah pandangan Abdul Ghani kerana beliau paling berkuasa dalam soal tanah.

Salahuddin turut menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak “anti-pembangunan” dalam isu Rapid.

Sebaliknya hanya mempersoalkan lokasi yang dipilih kerana terdapat tanah milik kerajaan negeri di kawasan berhampiran yang juga boleh diberikan kepada Petronas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.