Categories
SELANGOR

MBSA: Tekad Banteras Hostel Haram Warga Asing

SHAH ALAM 24 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras pembinaan hostel haram yang menempatkan warga asing di sekitar bandaraya itu.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Polis Negeri untuk menyelaraskan sekurang-kurangnya satu operasi yang melibatkan banyak agensi.

Katanya, MBSA banyak menerima aduan dari orang ramai dan Adun kawasan yang mendakwa banyak rumah-rumah kedai diubahsuai oleh pemilik menjadi hostel pekerja warga asing.

“Kami memandang serius perkara ini, kita tidak mahu sebarang kecelakaan berlaku yang boleh menyebabkan kematian.

“Dalam masa yang sama kita juga akan mengetahui mereka ini pendatang tanpa izin (PATI) atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA.

Jaafar berkata pemilik premis akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah.

Dalam pada itu, Jaafar berkata pihaknya juga akan membuat serbuan di premis perniagaan warga asing.

“Kita tidak mahu lambakan pekerja warga asing di mana-mana kawasan berleluasa,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.