Categories
PBT SELANGOR

Operasi tembak gagak Ahad ini, inisiatif tingkat kebersihan bandar raya

SHAH ALAM, 25 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Operasi Menembak Gagak Ahad ini bagi mengurangkan populasi spesies pembangkai yang menyebabkan kacau ganggu awam.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata operasi yang menjadi aktiviti tahunan itu berjalan dari jam 6.30 pagi hingga 9 malam sekitar Seksyen 2 hingga Seksyen 25.

Sehubungan itu Shahrin Ahmad meminta orang awam mengambil maklum serta tidak berada berhampiran lokasi terbabit.

“Operasi ini juga inisiatif meningkatkan tahap kebersihan kawasan Shah Alam kerana tabiat gagak yang suka menyelongkar tong serta tapak pembuangan sampah.

“Ini menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu hingga orang ramai merungut. Sepanjang tahun ini majlis terima 89 aduan berkenaan gagak. Jadi kita berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi kenyataan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA kutip lebih RM270 juta cukai taksiran tahun ini

SHAH ALAM, 9 NOV: Lebih RM270 juta cukai taksiran telah dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata jumlah kutipan memberangsangkan biarpun dalam keadaan penduduk berhadapan pandemik Covid-19.

“Pembayaran cukai bagi dua penggal pada tahun ini lebih 95 peratus, kita berterima kasih kepada penduduk Shah Alam walaupun terkesan pandemik tetapi masih melunaskan cukai.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berucap ketika pelancaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tanpa tunai di Dewan Auditorium, MBSA, Shah Alam pada 9 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jumlah yang dikutip ini lebih RM270 juta dan ia melepasi sasaran kita,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan MBSA Tanpa Tunai di Dewan Auditorium di sini hari ini.

Pada 27 Julai, MBSA memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran tanpa perlu ke kaunter dengan menggalakkan penduduk membuat pembayaran menerusi dalam talian di www.eps.mbsa.gov.my.

Selain itu saluran bayaran menerusi JomPAY turut disediakan dengan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 dan seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di tempat letak kereta Plaza Shah Alam hari ini

SHAH ALAM, 6 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan pejabat bergerak di tempat letak kereta di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 hari ini.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, MBSA memaklumkan pengoperasian pejabat bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) itu bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Antara perkhidmatan disediakan ialah aduan, semak dan bayar cukai taksiran, pembayaran kompaun dan menyemak status lesen.

MBSA turut memaklumkan hanya pengunjung yang lengkap divaksin dan status kesihatan berisiko rendah di MySejahtera sahaja dibenarkan berurusan di kaunter ini.

Terdahulu, MBSA mengambil pendekatan menggunakan pejabat bergerak bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan kompaun tertunggak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA, agensi Kerajaan Negeri kerjasama perkasa peniaga jadi usahawan mampan

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengorak langkah ke hadapan membimbing dan memperkasa usahawan, peniaga serta penjaja menerusi kerjasama pintar dengan agensi Kerajaan Negeri.

Kerjasama membabitkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Perbadanan Kemajuan dan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program pemantapan itu bagi memberi pendedahan kepada para peniaga yang kehilangan pendapatan kerana pandemik.

“Kerjasama ini bukan sahaja merujuk kepada pembangunan serta penyusunan semula usahawan di Shah Alam tetapi memperkasa mereka supaya menjadi usahawan mampan dan boleh mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam, di sini semalam.

Pada program itu Amirudin turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA, PKPS, Kohijrah dan SIC.

Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam adalah inisiatif MBSA untuk mendekati usahawan, peniaga dan penjaja serta memberi kesedaran dan pemahaman mengenai syarat, peraturan yang ditetapkan.

Beberapa inisiatif tertentu akan diperkenal seperti bantuan geran awal, latihan dan pemberdayaan kepakaran, penyediaan cadangan projek, pengurusan pemasaran, perniagaan dan promosi serta kewangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA peruntuk RM7 juta, inisiatif segera tangani banjir

SHAH ALAM, 8 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan RM7 juta sebagai langkah segera menangani masalah banjir dalam kawasan pentadbirannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MBSA menerusi taklimat kelmarin memaklumkan peruntukan diguna bagi pembelian pam tambahan.

“Perbelanjaan dijangka mengurangkan masalah banjir atau banjir kilat terutama sekitar Seksyen 13, Seksyen 7 serta beberapa kawasan lain.

“Majlis (MBSA) ada beberapa lagi peruntukan untuk selesaikan masalah lain dan sedang dianggarkan,” katanya pada sidang media semalam.

Pada 26 September beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Sementara itu Amirudin berkata sejumlah RM533 juta diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi 98 projek berkaitan perparitan mengatasi banjir negeri ini.

“Jabatan Perparitan dan Saliran telah menyiapkan 78 projek melibatkan RM425.23 juta sepanjang RMK-11,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Tarikh tutup pertandingan fotografi MBSA dilanjut hingga 1 November

SHAH ALAM, 6 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melanjutkan tarikh tutup Pertandingan Fotografi Shah Alam 2021 hingga 1 November ini.

MBSA menerusi Facebook memaklumkan lanjutan tarikh itu bagi memberi peluang lebih ramai orang menyertainya sekali gus menyerlahkan bakat dalam seni kreatif fotografi.

“Individu yang berminat sertai pertandingan ini, anda perlu memuat turun borang dan syarat penyertaan di portal www.mbsa.gov.my,” maklum pihak berkuasa tempatan itu.

Pertandingan bertemakan ‘Kami Sayang Shah Alam’ bermula sejak 20 Mac terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Lima kategori dipertandingkan meliputi bangunan atau mercu tanda, alam semulajadi, gaya hidup, aset majlis dan budaya norma baharu.

Pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik selain foto diambil hendaklah di kawasan pentadbiran MBSA.

Tempat pertama bagi setiap kategori akan memenangi wang tunai RM3,000, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan hadiah sagu hati RM200 seorang untuk lima pemenang.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA benarkan sewa dewan untuk sukan, rekreasi mulai hari ini

SHAH ALAM, 10 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membenarkan dewan di kawasan pentadbirannya disewa bagi tujuan sukan dan rekreasi mulai hari ini.

Menerusi lampiran poster yang dikongsi MBSA memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada individu yang telah lengkap menerima dos vaksin dan mereka perlu mengemukakan sijil digital kepada pegawai bertugas.

Aktiviti sukan yang dibenarkan pula adalah badminton, bola tampar, sepak takraw, bola jaring, taekwando, silat dan zumba.

Antara syarat perlu dipatuhi adalah menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka sebelum dan selepas aktiviti.

Masa penyewaan dewan seperti berikut :
Sesi pagi
8 – 10 pagi
10 – 12 tengah hari

Sesi petang
12 tengah hari – 2 petang
2 – 4 petang
5 – 7 malam

Sesi malam
7 -9 malam

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Negeri yang berada dalam fasa dua akan menikmati beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah di taman tanpa lengkap vaksin, MBSA minta pengunjung patuh SOP

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beriadah di taman awam di bandar raya ini yang kembali dibuka 22 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata antaranya pengunjung sudah mendapat vaksin Covid-19 lengkap iaitu selepas 14 hingga 28 hari menerima suntikan dos kedua.

“Pengunjung juga harus mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak berkumpul.

“Petugas unit renjer akan memantau untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP, penggunaan peralatan senaman tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan di Taman Tasik Shah Alam bersama renjer MBSA di sini mendapati kebanyakan pengunjung yang datang untuk bersukan, rekreasi dan riadah mengikut SOP.

Namun masih ada segelintir individu belum lengkap vaksin datang termasuk membawa anak kecil sebelum dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan taman bagi mengelakkan penularan virus.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Berikut adalah SOP bagi aktiviti riadah di taman awam bandar raya ini:

– Mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter di kawasan terbuka termasuk secara separa terbuka

– Aktiviti joging, senaman, berbasikal, taichi dan semua aktiviti sukan kendiri tanpa bersentuhan fizikal serta bukan berkumpulan dibenarkan

– Penggunaan alatan mainan kanak-kanak, alatan senaman gim luar (outdoor gym) tidak dibenarkan

– Berkelah, berkhemah dan berkumpul tidak dibenarkan

– Menjamu selera (dine-in) di kafe dibenarkan dengan SOP yang ketat

– Taman Persahabatan Selangor-Jepun, Musical Fountain, Flying Fox dan Jambatan Gantung Kanopi di Taman Tasik Shah Alam ditutup

– Kehadiran pengunjung hanya di dalam radius 10 kilometer dari kediaman dan jumlah pengunjung 50 peratus berdasarkan keluasan taman rekreasi

MBSA juga menghuraikan maksud telah melengkapkan pengambilan vaksin sebagai:

1. Dua dos suntikan – Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac selepas hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

2. Satu dos suntikan – Johnson & Johnson dan CanSino selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Categories
PBT SELANGOR

PPV Kenanga ditutup esok, penerima dos kedua diminta ke PPV IDCC

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Kenanga di Seksyen 28 di sini ditutup esok, maklum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Susulan itu, penerima vaksin dos kedua yang didaftarkan di PPV berkenaan akan dipindahkan ke PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di ini.

Selain PPV Kenanga, PPV Dewan Komuniti Serendah juga akan ditutup esok.

Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali hari ini memaklumkan individu yang mendapat janji temu di PPV Dewan Komuniti Serendah diminta hadir ke PPV Bukit Beruntung Golf Club pada 24 Ogos bagi mendapat suntikan pelalian.

Melalui perkongsian infografik di Facebook, PPV Bukit Beruntung Golf Club akan ditutup sehari esok bagi proses penyelarasan semula pengoperasian.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Perkhidmatan kaunter kembali operasi secara janji temu

SHAH ALAM, 1 JULAI: Perkhidmatan kaunter Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali beroperasi mulai hari ini secara janji temu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata operasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Operasi mengikut tatacara iaitu perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas tidak lebih 50 peratus dan kehadiran fizikal melalui janji temu berjadual,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bagi penetapan jadual janji temu boleh hubungi MBSA di talian 03-5522 2837 (hari bekerja) mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai boleh juga mengimbas kod QR di portal MBSA www.mbsa.gov.my, serta di laman media sosial MBSA iaitu Facebook (@shahalamcitycouncil), Instagram (@sacitycouncil) dan Twitter (@sacitycouncil).

Selain itu, Shahrin berkata kaunter pandu lalu di Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam akan mula beroperasi pada 5 Julai, mulai 9 pagi sehingga 5 petang kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Kaunter Pandu Lalu Wisma MBSA juga beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, mulai 9 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Pada 1 Jun, orang ramai boleh berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini secara dalam talian berikutan sekatan pergerakan penuh.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang 2,000 lagi bakul makanan, bantu golongan terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Sejumlah 2,000 lagi bantuan bakul makanan akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan warga bandaraya ini minggu depan, kata pemangku Datuk Bandar Shah Alam.

Mohd Rashidi Ruslan berkata lebih 2,000 bantuan menerusi Program Bakul Prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu sudah disalurkan kepada golongan terjejas akibat Covid-19 sejak Februari lalu.

Katanya program itu sebahagian sokongan kepada Kerajaan Negeri khususnya Pakej Kita Selangor 2.0, yang diumum kelmarin.

Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan

“Sejumlah RM150,000 diperuntukkan buat pemulaan program dan setakat semalam, sebanyak RM160,000 diperoleh menerusi sumbangan warga Shah Alam melalui kerjasama dengan 99 Speedmart,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada petugas barisan depan di MSU Medical Centre, di sini.

Pada program itu seramai 40 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerima sumbangan bantuan makanan asas seperti tepung gandum, minyak masak, beras dan gula bernilai RM50.

Mohd Rashidi berkata sebahagian kutipan caj beg plastik akan digunakan bagi tujuan sama supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, isteri santai di Laman Budaya, agih makanan

SHAH ALAM, 25 APRIL: Dato’ Menteri Besar menghadiri program Jom Moreh, Sembang Sahur @ Laman Budaya Musical Fountain di Taman Tasik Shah Alam, malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari dengan ditemani Datin Seri Masdiana Muhamad mendengar tazkirah dan nyanyian lagu keagamaan oleh Pencetus Ummah (PU) Amin, PU Rahmat, Dai Syafiqay serta Akhil Hayy.

Amirudin kemudian mengagihkan makanan kepada pengunjung berjalan sekitar Laman Budaya.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan persembahan dari kombo Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Ustaz Akhil Hayy ketika Program Jom Moreh, Sembang Sahur di Pancuran Air Muzikal Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau berkata program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berlangsung pada waktu malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bertujuan menyemarak aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.

“Selain itu pelbagai persembahan turut diadakan pada hari biasa yang menjadi daya tarikan baharu pengunjung,” katanya ditemui pemberita.

Laman Budaya Musical Fountain di Taman Tasik Shah Alam dibuka kepada pengunjung pada 30 Mac.

Pancuran air berirama setinggi 40 meter dilengkapi dengan sistem diod pemancar cahaya (LED) dan audio menjadi daya tarikan terbaharu pengunjung.

Projek menelan belanja RM1.96 juta itu juga sebahagian usaha MBSA memperkasa kembali sektor pelancongan di Shah Alam.