Categories
NASIONAL

‘R’ Terus Desak PM Bayar Royalti Minyak Kelantan

KUALA LUMPUR, 4 OKT : Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak Dan Gas Ke Kelantan (R) menyerahkan satu memorandum di luar perkarangan bangunan Parlimen bagi menuntut penyelesaian segera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hak bayaran royalti negeri Kelantan.

Pengerusi Royalti, Nazri Deraman berkata, Perdana Menteri perlu memastikan pembayaran wang royalti dibuat secara tunai oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Isu pengeluaran petroleum sebagai hasil bumi negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui batasan kepentingan politik yang sempit.

“Lakukan bayaran tunai atau royalti hasil daripada pengeluaran minyak dan gas dalam perairan negeri Kelantan kepada kerajaan negeri yang berjumlah RM10.4 bilion dengan kadar segera mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975,” katanya.

Jelasnya lagi, royalti turut menggesa Najib dan Petronas agar membina hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas serta pembinaan paip sepanjang 300KM diwujudkan di Kelantan.

Ini kerana jarak Blok PM301 yang berada di perairan Kelantan adalah lebih dekat berbanding ke Kerteh iaitu ke Pantai Senok Bachok hanya 140KM sahaja berbanding 300KM.

Perkara ini sekaligus dapat menjimatkan kos dan memberikan impak ekonomi yang sangat baik kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

Dalam memorandum yang diterima oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut mengemukakan sembilan justifikasi berkaitan tuntutan Royalti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.