Categories
SELANGOR

Tingkat Rondaan Bagi Cegah Kecurian Alatan Pertanian

SHAH ALAM, 5 OKT : Polis disaran meningkatkan kekerapan rondaan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan kampung diĀ  ekoran aduan penduduk bahawa berlaku peningkatan kes kecurian barangan pertanian seperti baja, racun dan alat bersawah.

Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang, Yahya Sahri berharap polis dapat mengadakan pondok-pondok kawalan yang ditempatkan di kawasan strategik di kawasan kampung bagi meningkatkan pemantauan dari masa ke semasa.

“Kita minta polis selepas mendapat tambahan peruntukan Belanjawan 2013 agar dapat mengadakan pondok-pondok itu yang dapat bertindak pantas,” katanya.

Yahya berkata, beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat menerima cadangan daripada Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Polis Bantuan sendiri bagi meningkatkan keselamatan aset-asetĀ  negeri dan juga keselamatan rakyat.

Dalam masa yang sama juga Yahya berharap masyarakat kampung juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk mengaktifkan Biro Keselamatan Kampung bagi mengatasi masalah itu.

“Apabila Biro Keselamatan Kampung ini diaktifkan, kita berharap polis dapat memberikan pengiktirafan dan sokongan daripada segi kemudahan peralatan dan latihan.

“Ada baiknya mereka yang terlibat dalam Biro Keselamatan ini diberikan sedikit imbuhan,” kata Yahya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelas Yahya, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan bantuan kepada pesawah supaya dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi.

Sebelum ini, media melaporkan 30 pesawah menanggung kerugian kira-kira RM60,000 di kawasan Tanjong Karang apabila input pertanian seperti baja dan racun dicuri setiap kali tiba musim menanam padi.

Difahamkan, pesawah bimbang memandangkan insiden kecurian kerap berlaku pada siang hari setiap kali musim menanam padi bermula.

Pesawah mendakwa, pencuri licik mencuri input pertanian yang disimpan di luar dan dalam rumah ketika mereka menjalankan kerja mencalit atau menabur benih pada petak sawah pada siang hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published.