Categories
SELANGOR

27 tan beras rezeki penduduk Tanjong Karang

SHAH ALAM, 27 JULAI: Tumpahan beras kira-kira 27 tan yang dibawa sebuah treler dalam satu kejadian di Jalan Tali Air 3, Tanjong Karang, malam tadi, ‘menarik’ perhatian penduduk setempat yang berpusu-pusu mengutipnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tumpahan beras itu pada jam 10.55 malam dan tiba lima minit kemudian.

BERASKatanya, treler yang membawa muatan 40 tan beras dari arah Sitiawan, Perak menuju ke Senai, Johor itu bagaimanapun tidak terbabit dalam sebarang kemalangan.

Insiden berkenaan kemungkinan berlaku disebabkan keadaan permukaan laluan tidak rata ekoran kerja menambah baik jalan raya itu sedang dilakukan.

“Ketika jentera tiba, ramai penduduk setempat sedang berusaha membersihkan jalan raya menggunakan penyedok, namun tumpahan beras itu terlalu banyak.

“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam membersihkan jalan itu dengan cara menyembur air untuk mempercepatkan proses,” katanya memetik BERNAMA, hari ini.

Kejadian tumpahan beras di jalan raya dua lorong itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.

Categories
SELANGOR

Dialog terbuka cadangan lebuhraya WCE nilai suara rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Dialog terbuka cadangan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) diadakan bagi membolehkan semua pihak menilai sendiri suara dan kehendak rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Kerajaan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata amalan mendengar pendapat rakyat sebelum melaksanakan projek dibuktikan Kerajaan Negeri terhadap satu projek lebuhraya tidak berapa lama dahulu.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri memang menunggu cadangan jajaran daripada LLM kerana tahun lepas mereka bentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kita beri banyak komen yang perlu dia betulkan.

Taklimat WCE“Bila lama sudah tak dimuktamadkan dan penduduk juga tanya status isu ini, saya berikan dialog dengan wakil penduduk pada 7 Disember lepas apabila ketika itu saya adalah penyelaras DUN Sungai Burung tetapi dia tak boleh bagi perinciannya. Mereka minta masa dua bulan.

“Jadi hari ini selepas dua bulan, kita buat sekali lagi dan nampaknya masih cadangan sama juga dibentangkan cuma kali ini kita buat secara terbuka sebab kita nak dengar daripada rakyat dan kita juga nak LLM juga dengar sendiri dari rakyat,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Katanya, amalan ini berbeza dengan pendekatan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang hanya mengadakan dialog bersama LLM dengan disertai beberapa pemimpin Umno dan beberapa pemimpin setempat.

“Seperti saya, takkanlah saya nak berbincang dengan tiga atau empat orang tetapi kita kena dengar pandangan rakyat sebab isu ini melibatkan rakyat,” kata Iskandar lagi.

Majlis dialog dihadiri hampir 100 penduduk khususnya penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Kampung Sungai Tengi Kiri.

Semasa majlis berlangsung beberapa penduduk mengemukakan pandangan untuk diberi perhatian LLM, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Salah seorang penduduk hanya menamakan sebagai Fazli menggesa Kerajaan Persekutuan dan konsesi tidak meneruskan projek ini sekiranya tidak mempunyai dana mencukupi.

“Saya cadangkan kalau tiada duit tak payah buat, dengan cara ini tidak menyusahkan penduduk,” katanya.

Cadangan itu mendapat sorakan gemuruh apabila mengulas terhadap pandangan LLM bahawa cadangan membina lebuh raya merentasi Pekan Tanjung Karang bakal melibatkan kos lebih tinggi.

EZY

Categories
SELANGOR

“Dah lama Pekan Tanjung Karang mati sejak Noh Omar jadi Menteri”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 23 FEB: Penduduk Tanjung Karang menyangkal dakwaan Pekan Tanjung Karang bakal mati sekiranya Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dibina di luar kawasan Pekan Tanjung Karang.

tanjong karang panorama a

Sebaliknya, beberapa penduduk yang ditemui SelangorKini pada Majlis Penerangan Projek WCE di Dewan Dato’ Hormat di sini hari ini mendakwa Pekan Tanjung Karang sudah lama mati sejak Datuk Seri Noh Omar menjadi Menteri lagi.

“Bukanlah pekan mati isunya, tetapi kalau bertambah lebuh raya, orang yang banyak mati nanti sebab kemalangan. Kalau orang kata Pekan Tanjung Karang pekan matilah, pekan koboilah, kalau nak ikutkan memang dari dulu lagi.

shahrul a“Datuk Seri Noh Omar dulu dia Menteri, apa yang dia buat nak tolong pekan mati ini sedangkan Sekinchan pada hal seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) sahaja, boleh saja bangunkan Sekinchan.

“Sejak dia jadi Menteri lagi Tanjung Karang tak berubah. Apa yang ada sekarang, Datuk Aini usahakan, bukan dia. Dia kata nak cadangkan buat Hospital Tanjung Karang yang baru, mana dia? Adakah cadangan sahaja?,” kata Shahrul Jani, 48 yang mengakui dilahir dan dibesarkan di Tanjung Karang.

Bagaimanapun Shahrul turut menolak cadangan merentasi kampung di Tanjung Karang yang bakal menyebabkan penduduk terbabit terpaksa berpindah.

Sementara itu, Mahmut Muhammad, 67, yang turut menyangkal dakwaan isu pekan mati pula berkata, penduduk Tanjung Karang tidak menolak sebarang pembangunan termasuk membina lebuh raya baru.

mahmud aTetapi katanya dengan syarat memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya pihak berkepentingan sahaja.

“Buat lebuh raya ini bagus tetapi jangan menyusahkan rakyat. Kalau menyusahkan rakyat, lebih baik tak payah buat. Mengenai lebuh raya ini, ada dua pilihan sama ada ikut jalan kampung atau di pekan tetapi masalahnya syarikat konsesi memang fikir untung dia saja.

“Menentukan kelulusan memang Kerajaan Negeri tetapi untungnya Kerajaan Persekutuan sebab mereka berurusan beri projek dan sebagainya dengan syarikat konsesi. Memang projek lebuh raya mana-mana pun, Kerajaan Pusat yang dapat duit,” kata Mahat yang turut berpendapat projek ini tidak perlu melibatkan pengambilan tanah kediaman di kampung terlibat.

Penduduk Kampung Sungai Tengi Kiri, Roslan Basri, 47, berkata rata-rata penduduk kampungnya menolak pengambilan tanah penduduk kampung bagi memberi laluan kepada projek ini.

roslan a“Program ini memang bagus kerana Exco sendiri mendengar pandangan rakyat mengenai isu projek lebuh raya ini apabila kami Penduduk di Kampung Sungai Tengi Kiri dapat menyatakan kami memang menolak projek ini dibina di kampung kami kerana akan menyebabkan kampung kami terbelah dua.

“Kami juga sedar cadangan bina lebuh raya ini memang diperlukan memandangkan kesesakan yang ada tetapi kena ambil kira pandangan mereka yang tinggal di sini.

“Suara rakyat dalam pertemuan tadi perlu di bawa ke atas. Bagi saya lebih baik buat di kawasan luar bandar tetapi kena ambil kira ekosistem alam sekitar, kesan kepada tanaman padi dan lain-lain,” kata Roslan.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mat Taib: Hidup Melayu Tiada Dalam Al Quran

muhd taib ceramah 26 apr 02

TANJONG KARANG 28 APRIL: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengajak pengundi di Tanjong Karang menolak Umno-BN dan memilah PAS sebagai wadah perjuangan yang baru.

Lebih dikenali sebagai Mat Taib, beliau berkata, PAS perjuangannya berlandaskan Islam dan  Umno-BN  sudah terbukti tidak mampu mentadbir negara.

“Dah sampai masa, saya sendiri dah menyeberang, apatah lagi yang lain-lain, Umno-Umno semua sudahlah, dulu hidup Melayu, hidup Melayu, sekarang takbir, hidup Melayu tak ada dalam Quran, sekarang Allahu Akbar,” ujarnya dihadapan lebih 800 penduduk.

Umno-BN sudah tidak berupaya lagi untuk mentadbir negara kerana dibelenggu dengan pelbagai permasalahan yang sehingga kini tiada penyelesaian.

Katanya, ini merupakan pilihan raya terbaik Pakatan Rakyat (PR) untuk menukar kerajaan setelah lebih 50 tahun Umno-BN memerintah negara ini.

“Tuan-tuan, tak ada siapa dalam dunia ini boleh ‘steady’ je sampai 60 tahun, dia (Umno-BN) sebenarnya dah tak boleh, tapi buat-buat boleh.

“Bila lama dah memerintah ni, jadi syok memerintah ni, tak mahu lepas, dengan apa cara sekalipun tak mahu lepas,” ujarnya dalam satu siri ceramah di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang baru-baru ini.

Sebagai contoh katanya, Australia melaksanakan pertukaran kerajaan selama 10 tahun biarpun prestasi kerajaan adalah di tahap terbaik.

Tambahnya, PR mempunyai rekod cemerlang mentadbir empat buah negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan ini diakui oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya tahun lalu.

Jelasnya, manifesto PR ingin memansuhkan PTPTN, tol, dan penurunan harga minyak boleh dilakukan kerana melaksanakan pentadbiran yang telus.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Kuang Bohong, Tapak Tadika Dibina Bangunan Komersil

SHAH ALAM 22 NOV : Tanah dua lot di Sekinchan dan Tanjong Karang yang dimiliki Umno dengan bayaran premium RM1 bagi membina tadika dan Dewan Serbaguna bertukar menjadi bangunan komersil lima tingkat dan dijual dengan harga lebih RM5 juta dakwa Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Semalam, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Adun Kuang, Abdul Syukur Idrus yang juga Ketua Penerangan BN negeri itu memaklumkan tanah itu dibeli oleh Umno-BN untuk tujuan pembinaan dewan serbaguna dan tadika.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata ia merupakan satu pembohongan yang tidak boleh diterima kerana tanah itu juga sudah dijual dan dimiliki oleh syarikat swasta Bumi Utama Building Material Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Suee Lim mendedahkan skandal 23 kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN.

Beliau berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN melibatkan harga  sebanyak RM20 juta.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata pihaknya akan mendapatkan anggaran harga yang betul bagi kesemua 23 lot tanah itu dan akan mendedahkannya akan datang serta mengumumkan penyelesaian yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei meminta Umno-BN menyerahkan kembali hak pemilikan satu lot tanah yang diberi kepada Umno Bukit Raja di daerah Klang.

Hal itu kerana tanah itu bukan dibangunkan Pusat Belia dan Rekreasi tetapi projek perumahan mewah yang terbengkalai kini.

“Jika Umno-BN tidak mahu memulang kembali kepada Kerajaan Negeri, mereka perlu membayar semua pampasan mengikut premium semasa,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex.

Hadir sama beberapa pemimpin PR dari semua parti.

Tanah yang berkeluasan tujuh ekar itu dikongsi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bagaimanapun kesemua cukai tanah dibayar oleh MBSA kerana ia dibawah satu geran.

Lagi Petani Tanjong Karang Berdemo Bantah Subsidi Benih Padi Tidak Berkualiti

TANJONG KARANG 29 OKT: Petani di kawasan Tanjong Karang dan Sekinchan berang dan membuat laporan polis terhadap tindakan Datuk Seri Noh Omar yang memberikan tender subsidi benih padi bernilai RM164.8 juta kepada pembekal yang tidak memenuhi kriteria.

Menurut Naib Penyelaras DUN Sungai Burong, Misran Serman, laporan polis itu dibuat bersama Loo Kim Yong dan S Ragavan semalam berikutan kemungkinan wujudnya penyelewengan mengenai agihan tender benih padi sah bagi tahun 2013 hingga 2014.

Katanya, benih yang diberikan kepada petani melalui subsidi Kerajaan Pusat itu kurang berkualiti dan menyebabkan benih padi yang akan ditanam itu tidak dapat hidup serta menyebabkan pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerugian besar ditanggung petani.

“Para petani merasa marah dan tidak berpuas hati kerana benih padi yang diberikan melalui subsidi ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos yang besar bagi mengelakkan padi diserang pelbagai penyakit ,” katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman di hadapan Pusat Pemprosesan Benih Padi di Sungai Burong pagi ini.

Sementara itu, demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 30 petani di kawasan itu menuntut penjelasan lanjut oleh Noh mengenai pemberian kuota subsidi yang hanya mementingkan kroni dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membela nasib golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Adun Sekinchan, Ng Sui Lim mendakwa, Noh Omar memberikan lebih separuh kuota subsidi benih padi berjumlah 80,000 tan metrik kepada Syarikat Seri Merbak Sdn Bhd yang didakwa dimiliki oleh Datuk Rais Zainuddin iaitu bekas ahli Exco Negeri Sembilan dan Syarikat Haji Mohd Noor yang didakwa memiliki hubungan rapat dengan Noh.

“Syarikat ini memonopoli lebih daripada jumlah kuota keseluruhan dan memberikan benih padi berkualiti rendah dan seterusnya menyebabkan penghasilan padi rendah yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada petani,” katanya.

Sui Lim berkata, Noh Omar seharusnya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana mempunyai pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan serta gagal menjalankan tugasnya menjaga kebajikan rakyat khususnya para petani.

“Saya mendesak Noh Omar meletakkan jawatannya sebagai menteri kerana gagal membela nasib rakyat malah didakwa mempunyai pelbagai skandal seperti penjualan tanah di Tanjong Karang dan isu kolam udang yang didakwa dimilikinya,” katanya lagi.

Sebelum ini Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan isu mengenai pemberian tender benih padi kepada kroni itu sengaja dipolitikkan oleh pembangkang.

 

Loji Pembersihan Air Sungai Sireh Kini Beroperasi 100 Peratus

SHAH ALAM, 19 OKT : Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Sireh di Tanjong Karang kini beroperasi 100 peratus untuk memproses air bagi bekalan air bersih kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, LPA Sungai Sireh kini mampu memproses air bersih sebanyak 21 juta liter sehari (JLH).

“Paras air di muka sauk LPA Sungai Sireh pada 18 Oktober 2012 adalah pada bacaan 1.1 meter berbanding paras kritikal 0.20 meter.

“Rekod aliran air Sungai Bernam melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC adalah tinggi iaitu pada jumlah 141.95 meter padu sesaat,” kata Khairi dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau lagi, bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) juga tinggi pada paras 10.20 meter dengan kesemua Kawasan Pengairan Berperingkat (ISA) penanaman padi menerima bekalan penuh.

Katanya, ban sungai yang pecah yang dipercayai menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Bernam River Headworks (BRH) sedang dalam pembaikan.

“Pihak IADA Barat Laut memaklumkan kerja-kerja pembaikan ban sungai tersebut sedang dijalankan dan akan dipercepatkan,” katanya.

Sebelum ini, lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di Tanjong Karang dan Sekinchan dikhuatiri terjejas kerana LPA Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak beberapa minggu lalu.

Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh itu disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan

Kerajaan Negeri mengarahkan pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor untuk menyegerakan pembaikan ban Sungai Bernam SKC yang pecah itu bagi memastikan aliran air ke sawah-sawah dan Loji Pembersihan Air Sungai Sireh tidak terjejas.

Categories
SELANGOR

Tingkat Rondaan Bagi Cegah Kecurian Alatan Pertanian

SHAH ALAM, 5 OKT : Polis disaran meningkatkan kekerapan rondaan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan kampung di  ekoran aduan penduduk bahawa berlaku peningkatan kes kecurian barangan pertanian seperti baja, racun dan alat bersawah.

Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang, Yahya Sahri berharap polis dapat mengadakan pondok-pondok kawalan yang ditempatkan di kawasan strategik di kawasan kampung bagi meningkatkan pemantauan dari masa ke semasa.

“Kita minta polis selepas mendapat tambahan peruntukan Belanjawan 2013 agar dapat mengadakan pondok-pondok itu yang dapat bertindak pantas,” katanya.

Yahya berkata, beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat menerima cadangan daripada Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Polis Bantuan sendiri bagi meningkatkan keselamatan aset-aset  negeri dan juga keselamatan rakyat.

Dalam masa yang sama juga Yahya berharap masyarakat kampung juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk mengaktifkan Biro Keselamatan Kampung bagi mengatasi masalah itu.

“Apabila Biro Keselamatan Kampung ini diaktifkan, kita berharap polis dapat memberikan pengiktirafan dan sokongan daripada segi kemudahan peralatan dan latihan.

“Ada baiknya mereka yang terlibat dalam Biro Keselamatan ini diberikan sedikit imbuhan,” kata Yahya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelas Yahya, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan bantuan kepada pesawah supaya dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi.

Sebelum ini, media melaporkan 30 pesawah menanggung kerugian kira-kira RM60,000 di kawasan Tanjong Karang apabila input pertanian seperti baja dan racun dicuri setiap kali tiba musim menanam padi.

Difahamkan, pesawah bimbang memandangkan insiden kecurian kerap berlaku pada siang hari setiap kali musim menanam padi bermula.

Pesawah mendakwa, pencuri licik mencuri input pertanian yang disimpan di luar dan dalam rumah ketika mereka menjalankan kerja mencalit atau menabur benih pada petak sawah pada siang hari.

Terjejas Pendapatan, Lebih 150 Nelayan Bantah Kolam Udang Miliki Noh Omar

 

TANJONG KARANG 8 OGOS : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Beli Tanah Murah, Buat Ternakan Udang


SHAH ALAM, 12 JUL : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.

Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995. Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

“Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?” soalnya.

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal. Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Ambil Iktibar Melalui Al-Quran, Elak Fitnah Dan Pilih Kasih

TANJONG KARANG 15 MEI :Umat Islam termasuk golongan pemimpin perlu mengambil iktibar daripada Al-Quran berkenaan situasi semasa yang berlaku di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan demikian apabila banyak perkara yang tidak sihat semakin menular dalam masyarakat kini antaranya penyebaran pelbagai berita buruk yang bertujuan menjatuhkan seseorang dan kumpulan melalui media massa.

“Adalah lebih baik semua pihak mengambil iktibar daripada Al-Quran tentang azab pedih bagi orang yang membawa fitnah dan orang yang suka memfitnah wajarlah menginsafi dirinya,” katanya.

Tambah Abdul Khalid mutakhir ini, timbul pula gelagat pemimpin yang bersikap pilih kasih dalam hal memberi bantuan kepada golongan yang berhak menerima.

Malah katanya, orang ini sanggup berkata ‘tidak rela’ dan ‘tidak redha’ jika pemberiannya diambil oleh yang tidak memberi sokongan kepadanya.

“Padahal Allah SWT melarang sikap begini kerana dia mempunyai harta dan seharusnya harta itu dibahagikan kepada orang miskin dan golongan yang memerlukan serta hendaklah memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu,” katanya.

Beliau juga mengajak pemimpin kerajaan termasuk yang memegang kuasa dalam pelbagai bidang supaya menginsafi diri bahawa Allah SWT adalah Maha Pemilik Kekuasaan.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyeru masyarakat supaya bersikap bersangka baik antara sesama Islam mahupun bukan Islam bagi mewujudkan kehidupan harmoni dalam masyarakat.

“Bagi saya, umat Islam tidak akan berpecah belah dan sesat selagi berpegang teguh pada dua sumber yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran dan Sunnah.

“Justeru, kita harus menolak sikap dan sifat keterlaluan dalam semua percakapan dan tingkah laku kita supaya tidak bersikap zalim sesama manusia,” katanya.

Tambahnya, kemakmuran, keamanan dan perpaduan sesebuah negeri yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum terletak kepada persefahaman yang baik di kalangan masyarakat walaupun berbeza fahaman politik.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran 1433H/2012M peringkat Negeri di Masjid Ar-Raudah, Tanjong Karang di sini.

Majlis tilawah yang bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ disertai 20 peserta yang mewakili setiap daerah di Selangor.

Hadir sama Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammed Khusrin Munawi.

Categories
NASIONAL

Umno Tanjung Karang Jual Tanah Kerajaan Negeri

TANJUNG KARANG, 17 FEB: Sebidang tanah berkeluasan 4370 meter persegi yang sebelum ini dimiliki Kerajaan Negeri Selangor dipercayai telah dijual oleh Umno Bahagian Tanjong Karang kepada dua buah syarikat berasingan.

Tanah tersebut dikatakan telah ‘dianugerahkan’ oleh kerajaan negeri terdahulu kepada Umno sebelum menjualkannya kembali kepada dua syarikat swasta untuk mendapatkan ‘untung atas angin’.

Tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Tanjong Karang tersebut telah didaftarkan atas nama Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada 1 Mac 2007, ketika BN masih menerajui pentadbiran negeri terbabit.

Demikian menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Hj Misran Serman ( gambar) ketika ditemubual TVS hari ini.

“Asalnya tanah kerajaan, tetapi sudah dipindah milik, dianugerahkan kepada Umno dan Umno pula jual pada syarikat bukan bumiputra.

“Kalau macam itu, senang-senanglah Umno dapat keuntungan atas penjualan tanah milik kerajaan negeri itu,” kata Misran.

Beliau turut menyerahkan dokumen yang diperolehi dari Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) dan Suruhan Jaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada TVS bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Semakan TVS terhadap dokumen-dokumen terbabit menunjukkan tanah yang bernombor lot PT115 dan terletak di Bandar Tanjung Karang itu kini dimiliki dua buah syarikat seperti yang didakwa oleh Misran sebelumnya.

Hasil carian terhadap dokumen SSM pula mendapati pengarah-pengarah Syarikat Bumi Utama Building Sdn Bhd ialah Datin Chia Mee Sim, Lau Chuan Mei dan setiausahanya Gangngadeve a/p Narsaiah.

Manakala Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Tanjong Karang, Mohd Kifli Abu Samah pula merupakan pemegang 60 peratus syer syarikat terbabit.

Individu bernama Hamyzar Toha yang tidak diketahui indentitinya pula memegang sebanyak 40 peratus kepentingan syarikat terbabit.

Sementara itu, hasil carian yang sama terhadap Bayacorp Sdn Bhd pula mendapati tiga individu yang dilantik sebagai pengarah syarikat itu juga merupakan individu yang sama dalam syarikat Bumi Utama Building Material Sdn Bhd.

Misran yang juga merupakan anggota Ahli Majlis Tanjong Karang juga memberitahu satu permohonan untuk membina sebuah hotel telah dibuat di atas tanah tersebut.

“Selepas itu pihak terbabit ada membuat permohonan untuk membina sebuah hotel di tapak tanah itu, tetapi saya sebagai ahli majlis telah membuat bantahan dan permohonan itu tidak mendapat kelulusan majlis.

“Tak tahulah kalau mereka cuba buat rayuan kepada Menteri Besar pula selepas itu,” kata beliau lagi.

Susulan itu TVS akan membuat susulan Isnin depan.