Categories
NASIONAL

Kohilan Tidak Boleh Lepas Tangan Pembinaan Kondo Batu Caves

SHAH ALAM 2 NOV : Setiap Ahli Majlis, samada mereka Pakatan Rakyat atau Umno-BN, seharusnya menjalankan tanggungjawab dalam memberi pandangan dan penilaian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan meluluskan sesuatu projek pembangunan.

Tugas itu juga, menurut Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lee Khai Loon harus dilaksanakan tanpa kompromi sepertimana termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Tidak kira di era BN atau PR (Pakatan Rakyat), tugas dan peranan Ahli Majlis adalah sama sahaja.

“Tugas Ahli Majlis bukan sekadar mengambil elaun, dia sepatutnya turun padang untuk mengetahui pandangan penduduk atau persatuan penduduk di kawasan sekitar sesuatu projek pembangunan.

“Maklumat inilah yang akan disalurkan semasa perbincangan peringkat Mesyuarat Penuh Bulanan MPS sebelum sebarang keputusan dibuat

?Kohilan tidak boleh melepaskan diri dari tanggungjawabnya. Pada waktu itu dia merupakan salah seorang Ahli Majlis Perbandaran Selayang,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Senator A Kohilan Pillay yang mempersoalkan peranan Ahli Majlis era PR berhubung isu pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Kohilan, yang merupakan ahli majlis MPS semasa kelulusan kondo itu diberikan, berkata keputusan itu dibuat oleh One Stop Centre (OSC) MPS.

Lee pula berkata, setiap keputusan OSC perlu mendapat kelulusan semua ahli majlis di dalam mesyuarat penuh bulanan MPS.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan dulu tetapi sekarang, Ahli Majlis di era PR akan hadir mesyuarat, duduk berbincang dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang kita ada,? tegas Lee.

“Kita juga turun padang untuk mendengar pandangan orang ramai terhadap sesuatu perkara atau urusan.?

Dalam pada itu, Lee tidak menolak andaian bahawa isu ini merupakan mainan politik Umno-BN yang akhirnya hanya menjerat diri sendiri.

“Kami ahli majlis semua hairan setelah empat tahun Pakatan memerintah negeri, isu ini dibangkitkan sekarang walaupun umum mengetahui ianya diluluskan sewaktu Umno-BN.

“Sekalipun keputusan dibuat tetapi ia seharusnya mesti dipersetujui Ahli Majlis pada waktu itu,” tambah beliau.

Sebelum ini, ratusan penganut agama Hindu dan NGO lain menyertai himpunan di pekarangan Batu Caves bagi menyatakan bantahan ke atas pembinaan kondominium tersebut.

Ekoran kontroversi itu juga, Kerajaan Negeri telah memberhentikan kerja-kerja pembinaan di tapak kondo itu serta menubuhkan pasukan khas di bawah Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC).

SPC ditugaskan untuk menyiasat bagaimana projek tersebut diluluskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.