10 pusat jagaan terima sumbangan MPS

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak 10 pusat jagaan rumah anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Bantuan berupa wang tunai RM1,500 dan barangan keperluan itu diserahkan menerusi konvoi tujuh kenderaan yang diketuai Yang Dipertua MPS, Mohd Yazid Sairi.

“MPS pada hari ini telah mengadakan acara pelepasan Konvoi Serahan Sumbangan sempena Program Masih Ada Yang Sayang Tahun 2021 di pekarangan lobi Menara MPS.

“Menerusi program ini, MPS telah menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,500 dan barangan keperluan kepada setiap 10 buah pusat jagaan dan rumah anak yatim, warga emas dan OKU di bawah pentadbiran MPS,” katanya di Facebook.

MPS berharap penyerahan sumbangan itu dapat meringankan beban serta membantu daripada aspek kebajikan para penghuni pusat jagaan anak yatim, warga emas dan OKU terutamanya ketika menghadapi endemik Covid-19.

Categories
PBT SELANGOR

Tapak sampah longgok dibersihkan seminggu lalu kembali dilambak sisa industri

SHAH ALAM, 7 OKT: Tidak sampai seminggu dibersihkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong kembali dipenuhi sisa pukal dan industri.

Keadaan itu dikesan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kelmarin sebelum menjalankan pembersihan semula, menurut pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad memaklumkan usaha melestari dan mengindahkan kawasan menjadi sia-sia apabila individu tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu.

Timbalan Yang Dipertua MPS Cheremi Tarman (tengah) menyiram pokok sempena program pengindahan titik panas sampah longgok di Taman Daya Kepong, Selayang pada 29 September 2021. Foto MPS


“MPS amat kesal dengan tindakan individu tidak mempunyai kesedaran sivik yang jelas tidak menghargai inisiatif dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran bersih dan indah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap isu itu tidak berulang selain menyaran orang ramai menjadi mata dan telinga dengan melaporkan perbuatan pembuangan sampah longgok di kawasan awam.

Pada 29 September lalu, MPS dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) melaksanakan projek pengindahan titik panas sampah longgok bagi melestarikan kawasan berkenaan.

Program pengindahan tersebut menggunakan tayar terbuang untuk dijadikan landskap kejur bagi menghalang aktiviti lambakan sampah pukal tidak terkawal. 

Categories
PBT SELANGOR

MPS peruntuk RM320,000 jayakan program mesra rakyat

SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntuk sejumlah RM320,000 bagi melaksana program mesra rakyat sejak awal tahun ini.

Pemangku yang dipertuanya berkata dana disalurkan melalui 24 ahli majlis di setiap zon masing-masing bagi membantu penduduk terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara program dijalankan serahan kit keselamatan Covid-19, bank makanan, bantuan barangan basah dan makanan asas termasuk edaran pelitup muka serta alat pengimbas suhu.

“Peruntukan juga digunakan untuk membantu penjaja dan menjalankan operasi nyahkuman bagi mencegah penularan wabak,” kata Cheremi Tarman dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah sehingga hari ini, program bagi meringankan beban itu memanfaatkan seramai 6,000 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Categories
PBT SELANGOR

JMB ingkar SOP perintah kawalan diberi surat amaran

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan surat amaran terhadap sebuah badan pengurusan bersama (JMB) di Perdana Residences 2, Selayang kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Korporatnya berkata tindakan diambil ketika operasi bersepadu dijalankan pesuruhjaya bangunan (COB) MPS dan unit penguatkuasaan pengurusan strata kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) semalam.

“Semasa pemantauan, kita dapati terdapat pekerja pembersihan yang bertugas di JMB berkenaan tidak membuat dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak lima JMB dipantau antaranya Andari Townvilla, Kota Warisan, Perdana Residence, Casa Mila termasuk Perdana Residences 2.

Menurutnya, JMB terbabit diperiksa surat kelulusan operasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), jadual pekerja, penjarakan fizikal dalam lif, kemudahan dan fasiliti guna sama selain memastikan tiada aktiviti atau majlis sosial.

“MPS dan anggota penguat kuasa KPKT turut memberi teguran kepada semua JMB untuk membuat penambahbaikan SOP sebagai langkah pencegahan Covid-19.

“Pemantauan berkala di semua perumahan berstrata akan terus dilakukan dan tindakan tegas menanti JMB yang ingkar dengan pematuhan SOP ditetapkan,” kata Mohamad Zin.

Categories
PBT SELANGOR

Pesakit kronik antara 100 penerima bantuan asas di Batu Caves

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan bantuan kepada 100 keluarga di empat perumahan di Batu Caves, semalam.

Sumbangan disampaikan membabitkan Flat Taman Bidara, Taman Selayang Jaya, Selayang Utama dan Taman Seri Melati.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata sumbangan disampaikan Ahli Majlis Zon 12, U Chin Ong dan Pemangku Yang Dipertua MPS, Ir Cheremi Tarman.

Menurutnya, seorang pesakit kronik di Taman Selayang Jaya, Batu Caves antara penerima sumbangan.

“Penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas ini adalah inisiatif Ahli Majlis Zon 12 sendiri bagi meringankan beban masyarakat terkesan terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya di Facebook hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kompaun dua individu buang sampah di tempat khas peniaga pasar

SHAH ALAM, 17 JUN: Dua individu masing-masing dikompaun RM1,000 selepas membuang sampah di tempat pembuangan dikhaskan untuk peniaga Pasar Taman Sri Gombak, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan kesalahan itu dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beberapa kawasan tumpuan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan limpahan sampah selain kesulitan dan gangguan kepada peniaga di kawasan tersebut.

“Notis kompaun telah dihantar ke kediaman pesalah melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan di aplikasi i-Sikap,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan semalam.

Kompaun dikenakan di bawah Seksyen 5, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007.

Categories
PBT SELANGOR

MPS: Dua premis diarah tutup, tujuh dikompaun langgar syarat lesen

SHAH ALAM, 11 JUN: Dua premis diarah tutup kerana menjalankan perniagaan berbeza daripada syarat lesen dan melanggar arahan sama dikenakan sebelum ini.

Tindakan ke atas pemilik kilang pemprosesan makanan dan pemborong alat tulis itu dikeluarkan dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Selayang Utama, Batu Caves, Gombak semalam.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata tujuh premis turut dikompaun atas pelbagai kesalahan melanggar syarat lesen.

“Operasi bagi memantau pematuhan syarat lesen perniagaan selain tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak 60 premis dilawati dan daripada jumlah itu 35 premis diperiksa serta baki 25 lagi tidak menjalankan operasi,” kata Ahmad Fauzi Ishak menerusi kenyataan semalam.

Menurut Ahmad Fauzi, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada dua pekerja premis kerana gagal mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

“MPS berharap peniaga yang mendapat kebenaran menjalankan operasi sepanjang PKP mematuhi SOP supaya rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan.

“Pemantauan bersama rakan agensi akan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa supaya masyarakat tidak leka dan tindakan dikenakan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPS tambah sembilan lokasi baharu bazar Ramadan

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menambah sembilan lokasi baharu bazar Ramadan pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pertambahan dari 23 lokasi sedia ada itu bagi membolehkan lebih ramai penduduk dapat berniaga.

“Permohonan untuk menjalankan perniagaan boleh dibuat terus kepada ahli majlis dan persatuan yang terlibat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Shamsul Shahril berkata MPS akan sentiasa memastikan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang ia beroperasi.

“Untuk itu, bazar anjuran persatuan atau jawatankuasa penduduk (JKP) akan dikawal oleh Rela atau petugas dari persatuan itu sendiri.

“Malah, mereka juga dinasihatkan supaya mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat terawih tahun ini dibenarkan mengikut SOP ketat.

Menurut Ismail Sabri lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-lain akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing.

 

Categories
PBT SELANGOR

Lapor kegiatan buang sampah haram dapat ganjaran wang tunai

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM350 kepada individu yang melaporkan kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata tindakan itu dilakukan bagi membantu pihak berkuasa tempatan memerangi aktiviti tidak bertanggungjawab daripada terus berleluasa.

“Untuk mengalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa tempatan, individu yang melaporkan aktiviti pembuangan sampah haram kepada MPS akan diberi ganjaran.

“Tetapi dengan syarat dengan maklumat tersebut, ia akan membantu hingga tertangkapnya individu yang membuat kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS ditalian 03-61266009 dan 03-61266038.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 22 tapak pembuangan sampah haram berjaya dikesan oleh MPS dan 57 kompaun dikeluarkan.

Categories
PBT SELANGOR

PKP: MPS jamin khidmat sisa pepejal, selenggara beroperasi

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberi jaminan sistem perkhidmatan di kawasan pentadbirannya berfungsi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata perkhidmatan itu meliputi pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan penyelenggaraan.

“Ini sememangnya fokus utama kami bagi memastikan perkhidmatan perbandaran tidak terganggu namun akan dilaksana mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mempergiat rondaan dan pemeriksaan dari masa ke masa bagi perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP selain membantu polis memantau pematuhan SOP.

Menurutnya anggota penguat kuasa ditempatkan di pasar awam kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi memastikan tiada peniaga atau pengunjung melanggar arahan.

“Penyelia pasar awam lain juga dinasihatkan mengambil langkah sama dan kita akan menjalankan pemantauan di pasar berkaitan sepanjang tempoh berkenaan.

“Jika ada peniaga yang gagal mengikut arahan, mereka boleh dikenakan notis pematuhan lesen dan penutupan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPS: Daftar bil digital, peluang menang telefon pintar

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 18 unit telefon pintar berpeluang dimenangi pemegang harta di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mendaftar maklumat penerimaan bil digital cukai taksiran.

Bahagian perhubungan awamnya berkata hadiah ditawarkan menerusi program cabutan bertuah sempena pelancaran kempen daftar, bayar dan menang cukai taksiran 2021 serta pelancaran aplikasi MyMPS pada 21 Disember ini.

“Pemegang cukai yang mendaftar dan mengemaskini maklumat di digitalbil.mps.gov.my layak untuk menyertai cabutan bertuah yang diadakan.

“Sebanyak 36,157 pegangan atau pemilik mengemaskini maklumat sebelum 31 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jabatan itu menambah pertukaran kepada bil digital cukai taksiran akan menghentikan sepenuhnya cetakan bil kertas secara pos bermula tahun hadapan.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk menyokong aspirasi Kerajaan Selangor sebagai sebuah negeri pintar selain memudahkan urusan orang ramai.

Orang ramai dipelawa menyaksikan acara tersebut yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook MPS pada jam 3 petang.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Empat lagi premis berhampiran Sungai Rawang bakal diroboh

GOMBAK, 2 DIS: Empat lagi premis yang dibina tanpa kebenaran serta berisiko menyebabkan pencemaran Sungai Rawang akan dirobohkan.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata notis pengosongan diberikan kepada pemilik premis dan tindakan sita diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

“Daripada lapan premis dikesan sepanjang Sungai Rawang, kita telah meroboh tiga bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat dalam tempoh seminggu.

“Selain itu sebuah premis lagi dibina atas tanah persendirian, jadi kita beri peluang pemilik untuk memenuhi syarat teknikal seperti pengezonan atau kebenaran merancang,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui selepas mengiringi EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau operasi meroboh sebuah bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat berhampiran Taman Garing semalam.

Pada 24 November, pihak berkuasa meroboh dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang terletak hanya satu meter dari Sungai Rawang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah dan Tanah Gombak merobohkan bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Garing, Rawang pada 1 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI