Categories
SELANGOR

MBSA Digesa Segerakan Kerja-kerja Membaiki Jambatan Jalan Tembusu

SHAH ALAM, 3 NOV : Pejabat DUN Kota Damansara menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk segerakan kerja-kerja membaiki jambatan Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang, yang sering runtuh kerana ia merupakan laluan utama penduduk setempat.

Setiausaha Sulit Adun Kota Damansara, Abdul Aziz Dahlan ketika dihubungi berkata, kejadian berulang kali itu menyebabkan penghuni yang tinggal di 14 rumah di situ tidak dapat membawa kenderaan keluar.

Struktur jabatan itu yang lemah juga membahayakan pejalan kaki kerana mereka dikhuatiri akan terjatuh.

“Kita masih belum dapat pastikan punca kejadian, tetapi ia kemungkinan berlaku disebabkan hakisan dan aliran air di bawah atau celah jambatan yang terhakis.

?MBSA perlu segera ambil tindakan. Kita tidak mahu tunggu lagi kerana ia membabitkan keselamatan penduduk,” katanya.

Tambahnya, jambatan itu dilaporkan rosak sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun.

Justeru katanya, pejabat Dun akan mengadakan pertemuan bersama MBSA hari ini untuk membuat perbincangan lanjut bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kalau boleh kita mahu semua perkara ini selesai hari ini juga. Kita tidak mahu dengar alasan masih dalam tender dan sebagainya. Kita mahukan penyelesaian segera.

Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak tetapi tindakan perlu diambil,” ujarnya.

Penduduk di Jalan Tembusu berdepan risiko apabila jambatan yang menjadi laluan runtuh buat kali keempat ekoran hujan lebat petang semalam.

Berikutan itu, jambatan tersebut mula terhakis dan membentuk dua lubang sedalam dua meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published.