Categories
NASIONAL

Polis Boleh Iringi 100 Kontena Nadir Bumi, Digesa Iringi Perarakan Rakyat

SHAH ALAM, 25 NOV: Polis digesa mengiringi Perarakan Anti-Lynas di beberapa batang jalan sekitar Kuala Lumpur hari ini sepertimana mereka mengiringi lebih 100 kontena yang mengandungi bahan nadir bumi ke loji Lynas (Lamp) di Gebeng, Kuantan.

Keengganan polis berbuat demikian bakal menimbulkan persoalan kesanggupan agensi itu melindungi rakyat sebagaimana mereka melindungi kepentingan syarikat tersebut.

Demikian menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin kepada TV Selangor semalam.

“Polis harus elakan tanggapan begini dengan bertindak melindungi keselamatan peserta yang sertai perarakan esok (hari ini).

“Bantuan pasukan pengiring pasukan polis amat kami alukan dan saya percaya akan menaikan lagi imej polis di mata rakyat,” kata beliau.

Peserta jalan kaki anti-Lynas Kuantan-Kuala Lumpur yang memulakan perjalanan mereka pada 13 November 2012 lalu dijangka akan tiba di Dataran Merdeka pada jam 4.00 petang hari ini.

Sebelum itu, rombongan yang telah menempuh perjalanan sejauh 300 kilo meter itu turut berhenti dibeberapa lokasi bagi menjayakan beberapa program penerangan berkaitan isu pencemaran alam sekitar tersebut.

Antaranya termasuklah di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM), Taman Melewar, semalam diiringi Yang DiPertua PAS Batu, Ishak Surin.

Ketibaan rombongan yang ‘semakin membesar’ itu turut mendapat sambutan bersemangat dari orang ramai yang menunggu ketibaan mereka di lokasi perhentian.

Menurut Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, SAMM akan turut menyertai perserta Perarakan Anti-Lynas dari Stesen Komuter Sentul sekitar jam 2.00 petang menuju ke Dataran Merdeka.

Selepas itu mereka dijangka tiba di Stesyen Monorail Titiwangsa pada jam 2.30 petang, Maju Junction pada jam 3.00 petang dan Dataran Merdeka pada jam 4.00 petang.

“Orang ramai yang ingin bersama acara kemuncak ini disaran hadir ke Stesen Komuter Sentul sebelum jam 2.00 petang atau di tempat dan masa lain yang saya sebutkan tadi,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.