Categories
NASIONAL

PR Jamin Hak Rakyat Bukan Islam Amalkan Agama (+video)

SEREMBAN, 4 NOV : Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu bimbang kononnya hak mereka untuk mengamalkan agama dan mengguna bahasa ibunda masing-masing akan terhakis sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Sebaliknya kebebasan untuk mengamalkan agama dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing itu terus dihormati seperti mana yang dijamin dalam Perlembagaan Negara.

Selain itu, masyarakat bukan Islam negara ini juga perlulah menghormati bahawa agama Islam merupakan agama rasmi seperti ditetapkan dalam perlembagaan sama.

Demikian ujar Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang kepada kira-kira lebih 10,000 orang ramai yang menyaksikan ceramah dalam program Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Seremban Jaya malam tadi.

“Islam melarang paksaan di dalam agama. Mereka ada hak kepada agama mereka, untuk melakukan upacara agama mereka. Ini hak yang dilindungi Islam.

?(Pada masa sama) orang bukan Islam terima yang Islam agama rasmi kerana 60 peratus rakyat Malaysia terdiri dari orang Islam,” ujar Hadi.

Hadi turut sempat menemplak pemimpin kerajaan Umno-BN kerana tidak mahu mengaku kelemahan masing-masing dan menganggap diri mereka adalah sebuah kerajaan yang sempurna.

Sikap pemimpin Umno-BN itu menggambarkan bahawa kerajaan yang diterjui mereka itu seolah-olah berlagak seperti tuhan, sempurna dan bersih dari melakukan sebarang kesilapan.

“BN anggap diri mereka akan memerintah negara ini selama-lamanya,” kata Abd Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu.

Sebelum itu, di atas pentas sama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kerajaan Umno-BN Negeri Sembilan sengaja mengadakan konsert hiburan dengan mengundang artis popular tanah air di padang Perbandaran Seremban malam tadi.

“Umno-BN sengaja adakan konsert panggil M. Nasir, Hattan dan sebagainya untuk tarik orang ramai ke sana sekaligus majlis kita tak dapat sambutan, tetapi nampaknya mereka gagal,” kata Mohamad Sabu yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu itu.

Mat Sabu juga menyeru orang ramai agar bersedia untuk melakukan perubahan untuk kebaikan masa depan generasi akan datang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.