Categories
SELANGOR

Wakil Ibu Tunggal Akan Dipanggil Dengar Penerangan Kerajaan Negeri Bela Wanita

SHAH ALAM, 23 NOV : Exco Wanita Selangor, Rodziah Ismail akan memanggil wakil ibu tunggal yang hadir pada himpunan hari ini pada minggu depan bagi menerangkan segala program yang  dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam membela nasib mereka.

Menurutnya, ‘elaun’ yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu tidak menyatakan pemberian berbentuk wang ringgit kepada ibu tunggal sebaliknya mengutamakan mereka yang layak.

“Memang tidak dinafikan, apa yang dikatakan ‘memberi elaun ibu tunggal yang layak’ di dalam manifesto itu.

“Jadi peruntukkan atau elaun itu ialah pelbagai. Tidak semestinya dalam bentuk RM (wang ringgit). Kita tengok kesilapan mereka tadi mengatakan RM. Tidak pernah kami janji. Kami janji peruntukkan,” katanya selepas menerima memorandum yang diserahkan oleh wakilnya Murtini Kasman.

Antara program  ekonomi yang melibatkan ibu tunggal yang sudah dilaksanakan adalah Program Pemberdayaan Wanita menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), Skim Mikrokredit Bandar dan Luar Bandar (MiMBAR dan SkimSel), Progran Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA).

Selain itu, program Skim Bantuan Tadika (TUNAS), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKEMBAR) dan Laman Dapur.

Jelas Rodziah, sebanyak 27,000 orang ibu tunggal berdaftar bersama Kerajaan Negeri dan beliau sendiri tidak pasti bagaimana mereka yang hadir pada himpunan hari ini masih tertinggal.

Ujar beliau lagi, beliau akan turut meniliti butiran dokumen berhubung tindakan saman dari kumpulan ibu tunggal Shah Alam yang difailkan semalam.

“Kesimpulan, kami sentiasa terbuka menerima sesiapa tidak mengira dari mana latar belakang politik.

“Kita buktikan dalam semua program skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya.

Hampir 500 orang ibu tunggal hadir dalam himpunan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh veteran tentera.

Leave a Reply

Your email address will not be published.