Categories
NASIONAL SELANGOR

PAS : Boleh Guna Kalimah Allah Tetapi Jangan Salah Guna

hadi awang

PETALING JAYA, 8 DIS: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan kekesalan terhadap Umno-BN yang terus menjadikan kalimah Allah sebagai polemik dalam kempen pilihan raya tanpa mempedulikan salah faham berbagai agama dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’, PAS kata Hadi mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini.

Ia merujuk kepada kenyataan medianya pada 4 Januari 2010 yang disertakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: “Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah”.

Menurutnya, kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut asal bahasa Al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa) adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

“Kalimah ‘Allah’ tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Oleh itu penganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah Al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ujarnya lagi, Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya dalam surah Ali-Imran ayat 64:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Par paderi, sami dan pemimpin ) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Ali-imran:64)

Perkara ini kembali diputarbelitkan Umno-BN apabila menuduh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengesa perkataan Allah dibenarkan digunakan oleh penganut Kristian di Malaysia, sedangkan beliau hanya mahu perkataan Allah itu dibenarkan diguna oleh penganut agama itu di Sabah dan Sarawak sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.