Categories
NASIONAL

Rafizi Dakwa Zahid Langgar Had Belanja PRU13 Lebih RM200,000

rafizi 01

PETALING JAYA 10 JUN : Selain petisyen pilihan raya, Pakatan Rakyat (PR) mengemukakan petisyen berasingan bagi Parlimen Bagan Datok dengan dakwaan calon Umno-BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang dibenarkan untuk sesuatu pilihan raya.

Petisyen itu termasuk 35 petisyen pilihan raya melibatkan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara yang difailkan PR bermula hari ini hingga Rabu ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa mempunyai bukti berupa rakaman video menjelaskan Ahmad Zahid yang kini Menteri Dalam Negeri berkempen dalam pilhan raya lalu melebihi had ditetapkan.

Dakwanya, video tersebut juga boleh ditunton di internet.

“Zahid Hamidi ada membuat satu kenyataan yang umum yang ada rekod video mengaku bahawa beliau ada memberikan wang RM100 dan sekampit beras 5 kilogram (kg) jika tidak silap kepada 24,000 orang di Bagan Datok.

“RM100 termasuk beras 5 kg anggaran RM15 kepada 24,000 orang maka jumlahnya lebih kurang RM2 juta lebih. Belanja pilihan raya hadnya RM200,000 sahaja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dengan kes tersebut maka PR memutuskan memfailkan dua petisyen bagi kawasan parlimen berkenaan.

Menurutnya, 35 petisyen pilihan raya difailkan PR adalah 25 kerusi Parlimen dan 10 DUN dengan PKR (19 – Parlimen dan satu – DUN), PAS (empat – Parlimen dan sembilan – DUN) manakala DAP (dua – Parlimen).

Serentak dengan petisyen itu, jelasnya, PR turut akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selain perkara bersangkutan dengan dalam tempoh tiga minggu.

“Pertama, saman terhadap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan ahli-ahli SPR di atas kegagalan melaksanakan dakwat kekal.

“Yang kedua, satu petisyen pilihanraya menuntut mahkamah menyemak senarai pengundi yang dicemari pengundi hantu di Sabah berdasarkan keterangan dibuat di Suruhanjaya Diraja setakat ini dan kajian dalaman PKR,” katanya.

Beliau berkata, selanjutnya adalah tindakan undang-undang bagi menisytiharkan pindaan Seksyen 9A yang menghalang kesahihan daftar undi dicabar di mahkamah bertentangan dengan perlembagaan.

Katanya, pasukan PKR yang akan mengambil tindakan itu diketuai pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Leave a Reply

Your email address will not be published.