Categories
NASIONAL

SPR : Tukar Pengerusi, Timbalan SPR Bagi Tingkatkan Kredibiliti JKP SPR

khalid samad white pc 03

SHAH ALAM 3 JUN : Menukar pengerusi dan timbalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara langkah yang paling utama bagi meningkatkan kepercayaan umum terhadap Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) yang akan menyelia agensi itu.

Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor, Khalid Samad, berkata perlantikan baru pengerusi dan timbalannya harus daripada individu yang benar-benar bebas, berintegriti serta berkredibiliti tinggi bagi memastikan reformasi sistem pilihan raya dapat dilakukan.

“Sebaiknya individu tersebut perlu berpegang kuat pada prinsip ingin melihat sistem pilihan raya yang telus, yang bertanggungajawab menentukan sesebuah kerajaan,” ujarnya yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Beliau yang menyambut baik cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut juga mengingatkan Perdana Menteri untukĀ  melaksanakannya dengan telus dan ikhlas, bukan sekadar cadangan kosong semata-mata.

“Kita tidak mahu menjadi seperti Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan sebelum ini di mana hampir semua cadangan tidak diambil berat dan dilaksana dengan baik.

“Kita ingin melihat kali ini kesungguhan pihak kerajaan dan SPR,” tambahnya.

Ujar Khalid, rakyat yang semakin celik politik akan terus melihat dan menilai keikhlasan Perdana Menteri dalam menunaikan janji kali ini.

Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Ujarnya, langkah itu bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR yang ketika ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Leave a Reply

Your email address will not be published.