Categories
SELANGOR

MPAJ : Insiden Tiga Tertimbus Kerana Kecuaian Bukan Kegagalan Struktur

mpaj

SHAH ALAM 4 JULAI : Kemalangan di tapak pembangunan Sierra Ukay di Ampang semalam yang mengorbankan tiga pekerja dan mengakibatkan seorang cedera parah, berpunca daripada kecuaian dan ketiadaan pengurusan keselamatan ketika pelaksanaan kerja.

Menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) insiden tersebut tiada kaitan dengan kegagalan struktur atau runtuhan cerun.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, Rosliza Mohd berkata, pekerja tersebut tertimbus ketika aktiviti korekan tanah dilakukan.

“Akibat korekan tanah yang dilakukan telah mengakibatkan tebing tanah setinggi 3.5 meter telah terjatuh dan menimbus pekerja binaan yang sedang bekerja bersebelahan tebing tersebut.

“Tindakan segera dibuat MPAJ bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan membuat lawatan di tapak kemalangan selepas kejadian itu semalam.

“Berikutan itu, MPAJ mengeluarkan notis berhenti kerja dengan serta merta,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata pemaju juga telah diarahkan mengemukakan laporan teknikal berkaitan punca berlakunya kemalangan serta cadangan penyelesaian yang merangkumi kajian kestabilan dan rekabentuk.

“Pemilik tanah harus bertangungjawab terhadap sebarang permasalahan dan berkemungkinan atas kegagalan memelihara serta menyelenggara sehingga menimbulkan kacau ganggu ke kawasan sekitar.

“MPAJ juga telah memaklumkan perkara ini kepada CIDB serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.