Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.