Categories
NASIONAL

Latheefa – jangan guna Akta Hasutan

lateefa koya pc 01

SHAH ALAM 15 OGOS : Parti pemerintah Umno-BN digesa tidak menyalahgunakan Akta Hasutan terhadap parti-parti politik yang mengkritik kelemahan Kerajaan.

Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PKR Latheefa Koya berkata setiap dakwaan terhadap Kerajaan sebaliknya perlu ditangani dengan sewajarnya dan bukan diketepikan sebagai hasutan.

“Keperluan dalam permohonan undang-undang hasutan di Malaysia adalah ia tidak boleh digunakan untuk kenyataan-kenyataan terhadap parti-parti politik termasuk dari Barisan Nasional samada ia berada dalam Kerajaan atau bukan,” jelas Latheefa.

PKR mengulangi pendirian agar Akta Hasutan dimansuhkan tanpa sebarang penggantian.

Latheefa berkata demikian selepas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memfailkan laporan polis terhadap Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen semalam.

Chong didakwa berniat jahat kerana mengesyaki Kerajaan Persekutuan Umno-Barisan Nasional dan Polis sengaja membiarkan jenayah berleluasa bagi mendesak undang-undang pencegahan diperkenalkan semula.

Khairy mahu Chong didakwa dibawah Akta Hasutan kerana tindakannya itu menghasut rakyat membenci Barisan Nasional.

“Jika alasan Khairy itu diterima, maka semua pemimpin yang mengkritik BN bersalah kerana menghasut!,” tegas Latheefa.

Latheefa berkata dakwaan Chong itu sewajarnya diteliti ekoran seruan undang-undang pencegahan diperkenalkan semula bagi menangani lonjakan mendadak jenayah-jenayah berat mutakhir ini.

“BN adalah kerajaan (Persekutuan). Polis dibawah Kementerian Dalam Negeri dan mereka gagal menjalankan tugas dengan baik. Tidak ada alasan untuk gagal memelihara keamanan,” tegas Chong mempertahankan kenyataannya di dalam satu laporan media.

Leave a Reply

Your email address will not be published.