Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat mahu polis bantuan!

POLISSHAH ALAM – Prihatin dengan peningkatan kadar jenayah yang membimbangkan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan polis bantuan di Selangor.

Rata-rata penduduk yang ditemui bersetuju dengan inisiatif itu supaya keamanan setempat dan keselamatan masyarakat di luar dan di dalam rumah terpelihara.

Mohd Haziq Hamzah, 26, dari SS1 Petaling Jaya, berkata penubuhan polis bantuan itu sangat diperlukan terutamanya di kawasan-kawasan yang berpenduduk padat.

“Bagaimanapun, polis bantuan yang dilantik itu perlu menjalani latihan dengan sebaiknya kerana kita mahu mereka ini sentiasa bersedia bila berhadapan dengan situasi getir,” katanya.

Bagi Teo Yoke Lan, 55, beliau menyambut baik strategi itu dan berharap langkah-langkah proaktif seperti ini menjadi amalan.

“Amat diperlukan rakyat dan kita harap perkara ini dapat dilakukan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Roslan Che Noh, 60, berkata beliau sentiasa risaukan keselamatan ahli keluarganya. Tegas beliau dengan adanya polis bantuan ini, sumber PDRM dapat ditumpukan di kawasan-kawasan panas.

“Masalah jenayah ini bukan sahaja di luar rumah, tetapi juga boleh berlaku dalam rumah. Kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera. Dengan adanya polis bantuan, kita harap mereka dapat tumpu kawasan panas,” katanya.

Selain itu, bagi Hamidah Ismail, 56, masalah jenayah yang sering berlaku menyebabkan beliau dan keluarga berasa terancam, lebih-lebih lagi apabila keluar pada sebelah malam.

“Bagi perempuan, memang bahaya tidak kira bila waktunya. Bagi saya, perlu ada pertambahan polis bantuan dengan ramai supaya tidak ada pertindihan dengan polis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.