Categories
SELANGOR

Tragedi Mesir: Abim cadang Malaysia teladani ketegasan Turki

logo_abim_angkatan_belia_islam_malaysia

Malaysia perlu meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara ummah di pentas antarabangsa, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan.

Katanya, tragedi pembunuhan rakyat Mesir adalah kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat negara itu senjak rampasan kuasa terhadap kerajaan sah, 4 Julai lalu.

“Tragedi yang menimpa rakyat Mesir menjadi bukti kegagalan tentera pimpinan Jeneral Al-Sisi.

“Tragedi medan Rabaah Al-Adawiya dikhuatiri merebak menjadi konflik berdarah yang menjejaskan kestabilan dan keamanan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara,” katanya pada kenyataan media.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, berkata kerajaan Malaysia wajar menggunakan pengaruh politik dan diplomatik untuk mendesak rejim tentera Mesir menghenti pembunuhan kejam.

Pada kenyataan media, beliau mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera Mesir terhadap orang awam yang berhimpun secara aman.

“Kami menuntut pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak, wanita dan lelaki, yang tidak bersenjata itu dihenti serta-merta dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Mengikut laporan tidak rasmi, hampir 3,000 terbunuh dan lebih 10,000 cedera ekoran kezaliman tentera Mesir ke atas peserta perhimpunan aman yang membantah rampasan kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.