Categories
NASIONAL

PKR desak putuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan tentera Mesir

logo-pkr

SHAH ALAM 15 OGOS: Kerajaan Malaysia patut memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim tentera Mesir sebagai bantahan terhadap kezaliman, pencabulan hak asasi dan kebebasan rakyat negara itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata masyarakat dunia patut mencontohi kerajaan Turki dan Tunisia yang mengutuk keras rampasan kuasa dan keganasan tentera Mesir.

“PKR mengutuk keras pembunuhan ratusan penyokong Mohamed Morsi, Presiden sah negara Mesir yang dilakukan oleh tentera negara itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Nik Nazmi berkata, keganasan tidak boleh dijustifikasi untuk menyelesaikan perselisihan politik dan perbuatan regim tentera menjejaskan usaha perdamaian.

“Kerajaan Barat kebanyakannya berdiam diri terutama Amerika Syarikat yang terus mengiktiraf rejim tidak sah dan membekalkan berbilion dolar untuk bantuan tentera yang membenarkan tragedi malang ini berlaku.

“Ini menguatkan pandangan bahawa retorik Barat tentang demokrasi akan sentiasa mengecualikan pergerakan Islam yang sah.

“Kesannya ialah bertambah ketegangan hubungan dan radikalisasi penganut agama di dunia ini,” katanya.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty pula, berkata kerajaan Malaysia sekurang-kurangnya wajar memanggil duta rasmi kerajaan Mesir untuk memberi penjelasan terhadap keganasan itu.

Beliau berkata tindakan itu perlu bagi menunjukkan bantahan rasmi kerajaan Malaysia terhadap kezaliman regim tentera Mesir, sekali gus mengelak perang saudara di negara itu.

“Kerajaan Malaysia perlu bekerjsama dengan masyarakat (Islam) antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian dan menamatkan keganasan di Mesir,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

-FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.