Categories
NASIONAL

Turunkan harga kereta dulu sebelum naikkan harga minyak

rafizi 01

SHAH ALAM 13 SEPTEMBER : Kerajaan Umno BN digesa untuk menurunkan harga kereta sebelum menaikkan harga minyak, tegas Ahli Parlimen Pandan,Rafizi Ramli.

Beliau berkata, struktur cukai kereta yang tinggi menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga lebih sekali ganda mahal berbanding rakyat negara lain.

“Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan.

“Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila BN menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai dikenakan ke atas kereta adalah antara tertinggi di dunia,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Rafizi berkata, BN sering mengungkit kononnya rakyat tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan menaikkan harga minyak.

Sebaliknya BN tidak mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

Kata Rafizi, sebuah isirumah purata rakyat yang keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan (yang dianggarkan membentuk 70 peratus keluarga di negara ini) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

“Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan,” kata beliau.

Jelas Rafizi, bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran selama 7 tahun, duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.

Ini bermakna, BN mencukai rakyat dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

“Ini adalah ketidakadilan nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila BN enggan mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak,” tegas Rafizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.