Categories
SELANGOR

ABIM: GST susahkan orang muda, penyebab inflasi

abim-komen-gst

SHAH ALAM 29 OKT : Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan lebih membebankan golongan muda kerana 82.5 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kesan itu semakin dirasai golongan muda apabila kadar inflasi meningkat ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika pendapatan tidak banyak berubah.

Katanya, GST akan menyebabkan golongan muda semakin tertekan apabila banyak barang yang dikenakan cukai apabila dilaksanakan.
“Apabila pelaksanaan GST tidak disusuli dengan pelbagai mekanisme yang perlu disusuli pihak kerajaan untuk mengenalpasti cukai bertindih yang perlu dihapuskan, maka akan membebani golongan muda,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Faisal berkata, ABIM akan menggerakkan kesedaran awam berkenaan kesan pelaksanaan GST dengan mengadakan sesi dialog pelbagai pihak termasuk bersama pihak kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

“Kita akan meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan melihat keperluan jika GST memberikan kesan kepada rakyat, maka ABIM akan menggerakkan mobilisasi yang lebih besar,” katanya. Katanya, kerajaan pusat digesa menangani masalah ketirisan dan keborosan dalam perbelanjaan supaya sumber pendapatan negara daripada cukai diperolehi tidak terbazir dan dapat disalurkan kepada program kebajikan rakyat.

Tambahnya, pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sebelum GST dilaksanakan kerana permulaan kadar GST enam peratus adalah tinggi dan kerajaan harus memastikan mekanisme pelaksanaannya membawa kebaikan kepada negara tanpa perlu meningkatkan jumlah caj dari semasa ke semasa.
“Hal ini kerana tarif cukainya tetap meningkat dengan pelaksanaan GST. Sebagai contoh, GST diperkenalkan kepada negara Singapura pada 1 April 1994 dengan kadar tiga peratus. Namun, menjelang 1 Januari 2003, kadar tarif meningkat kepada empat peratus dan kemudiannya lima peratus, pada 2004 dan terkini tujuh peratus, sejak 1 Julai 2007.

“Berdasarkan pengalaman negara yang sudah melaksanakan GST, kadarnya terus meningkat, namun persoalannya bagaimana kerajaan dapat mengekalkan pada kadar munasabah untuk GST bagi 20 tahun akan datang,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.